SHAH ALAM, 11 SEPT: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang dibawa ke peringkat kebangsaan sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) dijangka disertai 75,000 peserta secara fizikal.
Festival antara 13 hingga 20 September melibatkan 42 acara yang dipusatkan di Masjid Putra, Putrajaya berbanding lokasi asal di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, kata pengarah FTIM.
Mohd Farhan Nor Affandi memberitahu perubahan lokasi itu satu-satunya perubahan manakala jadual, kandungan program dan jemputan tokoh kekal seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Kita jangka (bilangan peserta) sekali ganda naik daripada angka yang kita dapat tahun lepas mungkin sekitar 70,000 ke 75,000 peserta fizikal dari hari pertama hingga akhir festival.
“Festival itu turut dijangka menerima capaian lebih luas dalam talian menerusi siaran langsung, laman sesawang dan YouTube. Tahun lepas capaian kita lebih sejuta,” katanya kepada Media Selangor.
Festival bertema Hikmah Warisan Islam menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas mufti besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah dan ulama terkenal Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.
Menurut Mohd Farhan, FTIM memperkenal Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan yang menghimpun kira-kira 200 ulama dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran ummah.
“Ini program tertutup yang menghimpunkan kira-kira 200 ulama seluruh Malaysia berbincang pelbagai hal termasuk melibatkan tasawuf yang mungkin boleh berguna untuk ataupun menjadi panduan untuk mendepani kemelut dunia hari ini, anak-anak muda kita,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata muzakarah itu wadah penting bagi memantapkan kerjasama intelektual dalam kalangan cendekiawan Islam selain mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini.

Muzakarah itu antara lain membincang perkembangan pendidikan Islam dan pengajaran Islam di selain menjadi ruang memperkasa peranan pendakwah dan asatizah dalam mendidik masyarakat.
Mohd Farhan memberitahu tumpuan pengajian tahun ini berkisar kepada kitab al-Hikam karya Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, tokoh sufi Mesir yang hidup pada akhir kurun ke-11 dan awal ke-12.
Katanya, kitab itu membicarakan hubungan manusia dengan Allah, penyucian jiwa, kebergantungan kepada-Nya dan memahami perjalanan dan ujian kehidupan dengan pandangan lebih jernih.
“Kitab al-Hikam mempunyai kira-kira 276 hikmah dan menyentuh aspek hati, kerohanian dan spiritual. Ia membincangkan soal dalaman, hati, kerohanian, spiritual,” kata Mohd Farhan.
Beliau menjelaskan kitab berkenaan dipilih berikutan perkembangan umat Islam masa kini yang berdepan pelbagai isu antaranya modernisasi kemelut dunia moden dan cabaran psikologi jiwa.
“Jadi, kita pilih kitab ini untuk diangkat supaya pembersihan itu berlaku dari dalam,” katanya lagi.
Katanya, kehadiran ulama dari dalam dan luar negara memberi peluang kepada umat berinteraksi secara langsung dengan tradisi ilmu yang bersanad, bukan sepintas lalu melalui media sosial.
“Keunikan festival ini terletak pada pendekatan pengajian kitab yang diterjemah dan dibaca dari awal hingga khatam sepanjang program,” katanya.
Mohd Farhan berharap festival itu menjadi medan pengisian ilmu untuk peserta bawa pulang kefahaman lebih mendalam tentang agama dan menghubungkannya dengan corak kehidupan seharian.
“Dalam erti kata lain, FTIM mahu mengembalikan ilmu kepada tujuan asalnya bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk membentuk manusia dan kehidupan,” katanya.







