
SHAH ALAM, 9 SEPT: Hanya sekitar sembilan bulan menjalani latihan secara serius, namun tempoh itu sudah cukup buat perenang para Selangor, Umar Abdul Rahman mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 50 meter kuak lentang kategori S4 pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika Umar sendiri tidak meletakkan harapan tinggi untuk menaiki podium selepas melihat saingan sengit daripada peserta lain.
“Saya memang tak sangka dapat pingat hari ini sebab catatan masa saya 1:25. Saya macam tak yakin boleh dapat pingat sebab yang lain pun laju juga.
“Tapi alhamdulillah, rezeki saya hari ini dapat emas. Memang dah tertulis nama saya untuk menang pingat ini,” katanya.
Umar mengakui debaran dan rasa gentar turut bermain di fikiran sebelum perlumbaan, terutama selepas melihat kemampuan pencabar lain.
Namun, dia memilih mengetepikan perasaan itu dan memberikan sepenuh tumpuan ketika beraksi.
“Banyak yang bermain di fikiran saya, gerun ada, takut ada sebab saya tengok peserta lain pun laju juga.
“Kadang-kadang memang kita akan rasa down, tetapi sebagai atlet kita kena hadap saja,” katanya.
Menurut Umar, pencapaian itu cukup bermakna kerana dia baru memulakan latihan pada Januari lalu sebelum membuat penampilan di Para SUKMA kira-kira sembilan bulan kemudian.
“Saya baru mula latihan tahun ini, bulan Januari dan SUKMA bulan September, jadi lebih kurang sembilan bulan sahaja saya berlatih.
“Saya rasa macam once in a lifetime apabila dapat pingat ini. Memang tak sangka,” katanya.
Umar turut mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada semua pihak yang banyak membantunya sepanjang bergelar atlet, terutama kakaknya yang dianggap sebagai tulang belakang dalam perjalanan kariernya.
Katanya, selain membantu dari segi pengangkutan, kakaknya turut menjadi tempat dia meluahkan perasaan ketika berdepan tekanan dan hilang semangat.
“Emas ini untuk semua yang sokong saya selama ini, keluarga, persatuan, atlet lain dan semua yang banyak membantu saya.
“Paling utama ialah kakak saya. Dia banyak membantu dari segi pengangkutan dan mental.
“Kadang-kadang saya rasa down dan saya akan luahkan kepada kakak, kemudian dia yang akan bagi saya semangat semula untuk teruskan berenang,” katanya.
Doa dan restu ibu bapanya turut menjadi pembakar semangat sebelum turun beraksi apabila Umar sempat menghubungi ibunya bagi memohon doa sebelum perlumbaan.
“Masa sebelum race tadi saya telefon mak, saya cakap Umar nak race hari ini dan minta doakan Umar berjaya. Alhamdulillah, mak cakap dia sudah solat hajat dan berdoa.
“Dia cuma pesan, ‘kau buat yang terbaik sahaja’,” katanya.
Selepas kejayaan itu, Umar kini memasang sasaran memperbaiki catatan masa dalam usaha memburu tiket ke temasya lebih besar.
Dengan catatan sekitar satu minit 25 saat ketika ini, dia menyasarkan renangan di bawah satu minit bagi meningkatkan peluang layak ke Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung di Malaysia tahun depan.







