
SHAH ALAM, 1 OKT: Seramai 26 atlet Para Renang yang menjadi penyumbang pingat terbanyak kepada kontinjen Selangor pada PARA SUKMA menerima penghargaan daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, semalam.
Pejabat Istana Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Baginda berkenan menerima menghadap dan meraikan kesemua atlet bersama jurulatih serta pegawai dalam majlis santapan tengah hari di Istana Alam Shah, Klang.
Dalam titahnya, Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua perenang atas kerja keras, komitmen dan kesungguhan sepanjang menjalani latihan serta menghadapi pertandingan.
Baginda bertitah kejayaan itu membuktikan kesediaan atlet untuk terus belajar, memperbaiki prestasi dan memberikan aksi terbaik dalam acara masing-masing.
Baginda turut berharap pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada atlet untuk memperbaiki catatan peribadi, meningkatkan kemampuan dan melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Teruskan berusaha dengan tekad, bertanding dengan semangat dan melangkah dengan rendah hati. Semoga kejayaan hari ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan,” titah Baginda.
Pada masa sama, Baginda berharap kejayaan itu menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Baginda turut menyeru kerajaan, khususnya badan sukan negeri Selangor, supaya terus memberikan sokongan, bantuan dan dorongan bagi memastikan pembangunan sukan para di negeri itu dapat diperkukuh.








