SHAH ALAM, 10 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan tujuh kompaun terhadap pemilik premis makanan di sekitar Kuala Langat selepas mendapati tahap kebersihan premis kurang memuaskan.
Tindakan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap beberapa premis makanan di sekitar daerah berkenaan bagi memastikan pematuhan tahap kebersihan.
Menurut MPKL, antara kesalahan dikesan ialah membuang cecair kotor sehingga mengganggu dan mengalir ke dalam saluran longkang.
Pemeriksaan turut mendapati terdapat premis yang gagal memastikan tandas sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Selain itu, pengendali makanan turut dikesan tidak memakai penutup kepala ketika mengendalikan makanan.
“Kesalahan lain yang dilakukan perniagaan tanpa lesen, mempamerkan papan iklan tanpa lesen serta meletakkan barang-barang di tempat awam yang menyebabkan halangan awam,” menurut MPKL menerusi Facebook.
Tujuh Notis Kompaun berkenaan tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendali Makanan (MDKL) 2007.
Tindakan turut diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (MDKL) 2007 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Pada masa sama, MPKL mengeluarkan Arahan Tindakan Pembetulan kepada pemilik premis yang terlibat.
Arahan berkenaan perlu dilaksanakan serta-merta bagi memelihara kebersihan persekitaran dan kesejahteraan penduduk setempat.









