Aduan air hitam di parit Bukit Changgang, premis kitar semula disiasat

20 Okt 2026, 3:25 AM
Aduan air hitam di parit Bukit Changgang, premis kitar semula disiasat
Aduan air hitam di parit Bukit Changgang, premis kitar semula disiasat
Aduan air hitam di parit Bukit Changgang, premis kitar semula disiasat
Aduan air hitam di parit Bukit Changgang, premis kitar semula disiasat

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebuah premis kitar semula di Kampung RTB Bukit Changgang diperiksa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan aduan air berwarna hitam di parit yang mengalir ke Sungai Langat.

MPKL memaklumkan pemeriksaan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) mendapati premis di Jalan 2 RTB itu menjalankan aktiviti pengumpulan barangan plastik untuk dikitar semula, selain turut mempunyai kesan pelupusan sisa makanan.

“Pemeriksaan juga menemukan kesan pencemaran tanah dan air di bahagian dalam, luar serta belakang premis, selain air berwarna coklat dan berbau busuk.

“Bagaimanapun, punca pencemaran yang diadukan masih belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan analisis sampel air yang diambil JAS,” katanya di Facebook.

MPKL memaklumkan pihaknya turut mengeluarkan Notis Kesalahan dan Notis Pemberitahuan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 11, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007.

“Pihak premis turut diarahkan menyedut air dan membersihkan kawasan terlibat dengan serta-merta. Sebuah forklift turut disita kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Selain itu, JAS mengeluarkan Field Citation dan mengambil sampel air untuk analisis lanjut. Tali halangan turut dipasang di hadapan premis, sementara pemilik dan penyewa dipanggil ke pejabat JAS bagi membantu siasatan,” katanya.

MPKL mengingatkan pengusaha premis di kawasan pentadbirannya supaya memastikan aktiviti perniagaan tidak menyebabkan pencemaran tanah dan air, pelepasan sisa ke dalam longkang atau kacau ganggu kepada persekitaran.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.