SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeriksa 161 premis makanan di kawasan pentadbirannya dari Januari hingga Mac tahun ini.
Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan sebanyak 251 kompaun dikeluarkan dan 43 premis diarahkan tutup atas kesalahan kebersihan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MBPJ 2007.
"Antara punca utama adalah tahap pematuhan pengusaha yang masih rendah, terutamanya dalam penyelenggaraan ‘grease trap’ serta pengurusan sisa makanan yang tidak sistematik.
"Selain itu, terdapat juga segelintir peniaga yang kurang peka, termasuk mewujudkan halangan fizikal seperti pembinaan tanpa kebenaran dan pemasangan paip yang mengganggu aliran air, sekali gus menyukarkan kerja penyelenggaraan," katanya menerusi kenyataan.
Mengulas berhubung sistem saliran, MBPJ berkata sistem sedia ada itu masih berada pada tahap baik dan tidak memerlukan naik taraf secara menyeluruh buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya, kerja penyelenggaraan dan pembaikan akan terus dilaksana secara berperingkat berdasarkan keutamaan, keperluan semasa serta peruntukan yang diluluskan.
"MBPJ akan terus memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan serta usaha advokasi bagi meningkatkan kesedaran awam dan tahap pematuhan pengusaha.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan persekitaran bandar kekal bersih, selamat dan mampan," katanya.








