SHAH ALAM, 14 OKT: Dua tapak projek perumahan di Pekan Sungai Manggis dan Rimbayu dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas dikesan melakukan kesalahan pengurusan sisa pepejal dan pembakaran terbuka.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan pemeriksaan mendapati kedua-dua tapak tidak diselenggara dengan baik, selain dipenuhi sampah sarap dan semak samun.
Menurutnya, pemeriksaan di tapak projek Sungai Manggis mendapati sisa makanan dari rumah kongsi disalurkan ke longkang besar berhampiran.
"Sementara itu, di tapak projek Rimbayu, terdapat aktiviti pembakaran terbuka," menurut MPKL.
Susulan pemeriksaan, MPKL mengeluarkan Notis Pemberitahuan dan Notis Kesalahan mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kepada pihak berkaitan.
Penyelia kedua-dua tapak turut diarahkan menjalankan kerja pembersihan dalam tempoh tujuh hari.
Pemeriksaan dijalankan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran bersama Jabatan Penguatkuasaan MPKL.
MPKL mengingatkan pemaju dan kontraktor supaya memastikan tapak pembinaan sentiasa bersih, mengurus sisa dengan teratur serta tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar.








