SHAH ALAM, 19 OKT: Sebuah premis makanan di sekitar Banting diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan tindakan itu diambil susulan operasi penguatkuasaan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat (PKDKL) yang mengesan pelbagai kesalahan di premis berkenaan.
Menurut MPKL, hasil pemeriksaan mendapati pengusaha gagal menjaga kebersihan premis, membuang cecair kotor ke dalam longkang serta pengendali makanan tidak memakai apron dan penutup kepala.
"Sebanyak enam notis kesalahan yang merangkumi empat notis di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan dua notis di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MDKL) 2007.
"Kesalahan lain yang dikenal pasti termasuk beroperasi tanpa lesen dan mempamerkan iklan perniagaan tanpa kelulusan," katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, PKDKL mengeluarkan perintah penutupan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, selain mengenakan tiga notis kesalahan terhadap pemiliknya.
Dua notis dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal mendaftarkan premis dalam sistem FoSIM dan menggunakan bekas sampah tanpa penutup.
Satu lagi notis dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok.
MPKL turut mengingatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan supaya sentiasa menjaga kebersihan serta mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan demi menjamin keselamatan serta kesihatan orang awam.







