SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 38 notis, melakukan lapan sitaan dan menutup tujuh premis di Jalan Kenyalang, Seksyen 11, Kota Damansara susulan pelbagai pelanggaran peraturan.
Ahli Majlis MBPJ Zon 3 Muhammad Shazwan Suhaimi berkata sembilan kompaun turut dikeluarkan dalam operasi selepas kira-kira 90 peratus aktiviti perniagaan di kawasan itu didapati didominasi warga asing.
Antara perniagaan dikenal pasti ialah kedai runcit, gunting rambut, makanan dan minuman serta kedai jamu.
“Jabatan Penguatkuasa MBPJ mengeluarkan sembilan kompaun, 38 notis, lapan sitaan serta tujuh tindakan penutupan terhadap premis yang melanggar peraturan.
“Jabatan Kesihatan MBPJ turut menutup beberapa premis atas isu kebersihan dan pematuhan keperluan kesihatan,” katanya ketika dihubungi.
Shazwan berkata Jabatan Kejuruteraan turut mengeluarkan 18 notis di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, manakala 19 notis dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan mengikut Seksyen 70(1) akta sama.
Isu penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sebahagian pemilik sudah mengembalikan binaan premis kepada keadaan asal, manakala MBPJ akan berbincang dengan pemaju dan pihak berkepentingan bagi menentukan tindakan seterusnya.
MBPJ akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan premis mematuhi syarat perniagaan, kebersihan dan binaan, selain mengekalkan tujuan asal kedai berkunci sebagai ruang niaga usahawan kecil tempatan.







