AI bantu PKS tingkat produktiviti, bukan ganti tenaga manusia

10 Sep 2026, 8:08 AM
AI bantu PKS tingkat produktiviti, bukan ganti tenaga manusia
AI bantu PKS tingkat produktiviti, bukan ganti tenaga manusia
AI bantu PKS tingkat produktiviti, bukan ganti tenaga manusia

SHAH ALAM, 10 SEPT: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti serta hasil perniagaan, bukannya menggantikan tenaga manusia.

Pengarah Inovasi AI Singapura Lawrence Liew berkata teknologi itu lebih sesuai digunakan untuk mengautomasikan tugasan dan proses yang mengambil masa panjang, sekali gus membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan pertimbangan serta kepakaran manusia.

“Apabila PKS membawa masuk AI, kita perlu menggalakkan mereka berfikir bagaimana teknologi itu boleh mengautomasikan tugas dan proses untuk meningkatkan hasil serta mengembangkan perniagaan, berbanding menggunakannya untuk mengurangkan tenaga kerja,” katanya ketika ditemui pada Forum AI Selangor di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), di sini, semalam.

Pengarah Inovasi AI Singapura Lawrence Liew berucap pada majlis perasmian Forum AI Selangor di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), di Shah Alam pada 9 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Lawrence berkata AI bukan untuk mengurangkan kakitangan atau kos, sebaliknya teknologi yang mampu membantu syarikat meningkatkan produktiviti, mengembangkan perniagaan dan menambah hasil.

Menurutnya, meskipun AI mampu menyelesaikan sesetengah tugasan dalam beberapa saat atau minit berbanding berjam-jam secara manual, teknologi berkenaan masih belum mampu mengambil alih keseluruhan fungsi manusia dalam kebanyakan pekerjaan.

Tambahnya, peranan manusia kekal penting khususnya bagi tugasan yang memerlukan pertimbangan dan 'citarasa manusia', manakala tugas tertentu yang mampu dilakukan AI dengan lebih pantas boleh diautomasikan.

Katanya, nilai sebenar teknologi itu juga terletak pada keupayaannya mentransformasikan keseluruhan proses kerja sesebuah organisasi, bukan sekadar meningkatkan produktiviti individu.

"Sebagai contoh, jika sesuatu proses yang sebelum ini mengambil masa 100 jam dapat dikurangkan kepada 20 jam dengan AI, itu memberi penjimatan masa yang sangat besar.

"Ini bukan lagi mengenai seorang individu, tetapi bagaimana keseluruhan proses kerja sesebuah pasukan dapat ditransformasikan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dell Technologies Malaysia TS Koay berkata AI perlu dilihat sebagai teknologi yang melengkapi keupayaan manusia dan membantu mereka bekerja dengan lebih cekap, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjana pendapatan.

Menurutnya, tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kebimbangan mengenai kesan AI terhadap tenaga kerja, sebaliknya bagaimana teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk mencipta peluang baharu kepada rakyat dan perniagaan.

"AI adalah tentang melengkapi manusia dan menjadikan mereka lebih cekap dalam urusan harian, selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta pendapatan kepada perniagaan dan rakyat.

"Kita perlu melihat AI daripada sudut positif, iaitu bagaimana teknologi ini membantu manusia mencipta lebih banyak peluang, memudahkan kehidupan serta meningkatkan hasil perniagaan," katanya.

Koay turut berpandangan Selangor mempunyai infrastruktur digital yang baik serta pelbagai inisiatif bandar pintar, namun langkah seterusnya adalah memastikan manfaat teknologi termasuk AI dapat diperluaskan kepada rakyat dan komuniti.

Beliau berkata pembangunan bandar pintar tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur digital, sebaliknya perlu bergerak ke arah membentuk masyarakat yang mampu memanfaatkan teknologi dalam kehidupan dan aktiviti ekonomi.

Forum AI Selangor yang julung kali dianjurkan di peringkat negeri menjadi platform menghimpunkan sektor swasta, ahli akademik dan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi berkongsi perkembangan terkini teknologi AI di Malaysia serta peringkat global.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.