
SHAH ALAM, 9 SEPT: Kontinjen Selangor perlu mengekalkan momentum dengan terus memburu pingat emas dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mencapai sasaran 60 emas pagi tadi.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata atlet para negeri perlu terus membuktikan keupayaan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa.
“Alhamdulillah, sasaran 60 pingat emas berjaya dicapai dan kini kita terus melangkah untuk menambah lagi kilauan emas buat Selangor.
“Atlet Para Selangor terus membuktikan bahawa keupayaan dan kecemerlangan tidak mengenal batas. 60 emas bukan penamat, kita teruskan momentum,” katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, pencapaian diperoleh Kontinjen Selangor merupakan hasil semangat luar biasa atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan serta seluruh pasukan yang bekerja keras sejak awal persiapan.
Beliau berharap seluruh rakyat Selangor terus memberikan sokongan kepada atlet para sehingga ke garisan akhir.
Terdahulu EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi mengumumkan pasukan Selangor berjaya mencapai sasaran 60 pingat emas selari dengan misi ditetapkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor.
Menurut Mohd Najwan pencapaian itu membuktikan kesungguhan serta prestasi konsisten atlet para Selangor sepanjang temasya.
Para SUKMA yang bermula 5 September lalu mempertanding 369 acara melibatkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.









