SHAH ALAM, 27 APRIL: Agenda global melibatkan orang kurang upaya (OKU) kini menunjukkan perubahan ketara apabila tidak lagi tertumpu kepada kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya beralih kepada aspek penyertaan, representasi serta kepimpinan dalam politik dan pembuatan dasar.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata, perkembangan tersebut selari dengan peranan aktif parlimen antarabangsa yang kini memberi penekanan kepada semakan bajet, penambahbaikan akses serta pembukaan ruang kepada lebih ramai golongan OKU terlibat dalam arena politik.
Menurutnya, perubahan itu dapat dilihat dengan jelas menerusi Mesyuarat Regional Champions bagi Commonwealth Parliamentarians with Disabilities (CPwD) yang menghimpunkan pelbagai wakil dari rantau berbeza.
“Perubahan ini jelas dilihat menerusi Mesyuarat Regional Champions bagi CPwD.
“Mesyuarat yang menghimpunkan wakil dari pelbagai rantau termasuk Asia, Asia Tenggara, British Isles dan Mediterranean serta Kanada yang berkongsi pendekatan berbeza dalam memperkukuh agenda inklusiviti OKU,” katanya menerusi Facebook.
Sebagai wakil Asia Tenggara, Danial berkata beliau turut berkongsi usaha di Selangor dalam membangunkan dasar berkaitan OKU serta memperkukuh penyelarasan melalui MTOS.
Beliau menambah, rantau ASEAN mempunyai pelbagai pengalaman dan pencapaian yang bukan sahaja boleh dikongsi malah turut menyumbang kepada perbincangan di peringkat global.
Dalam pada itu, Danial juga dijangka mewakili Malaysia dan Asia Tenggara ke persidangan CPwD yang akan datang di Afrika Selatan dengan membawa suara, pengalaman serta aspirasi komuniti OKU ke pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Danial dilantik sebagai wakil Asia Tenggara dalam CPwD bagi memperkukuh peranan Selangor dan Malaysia dalam memperjuangkan hak golongan OKU di peringkat antarabangsa.
CPwD yang ditubuhkan pada 2017 berfungsi sebagai platform Parlimen Komanwel untuk meningkatkan kesedaran, advokasi dan kerjasama dalam menangani isu membabitkan golongan OKU di peringkat global.








