SHAH ALAM, 5 APRIL: Kerajaan Selangor sedang mengkaji semula peruntukan sedia ada bagi memperluas bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk meningkatkan jumlah penerima sehingga 40 peratus.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan golongan rentan terus terbela, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup sekiranya konflik Asia Barat berlarutan.
"Memang kita sedang melihat semula peruntukan sedia ada termasuk mempertimbangkan untuk menambah kuota penerima bantuan sehingga 30 atau 40 peratus.
"Kita juga akan menangguhkan perkara kurang mendesak seperti karnival dan memberi tumpuan kepada keperluan asas seperti makanan serta keperluan harian rakyat," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Dewan Teratai, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan menyusun semula agihan bantuan melalui inisiatif Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang mempunyai peruntukan RM3 juta, selain RM650,000 di bawah MTOS.
"Peruntukan ini akan disusun semula, termasuk meneliti kaedah penyaluran agar bantuan dapat disampaikan secara terus kepada penerima," jelasnya.

Menurutnya, pendekatan baharu itu akan memberi fokus kepada penyaluran bantuan secara langsung berbanding kaedah sebelum ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata, Selangor mempunyai kira-kira 150,000 golongan OKU, namun keutamaan akan diberikan kepada kumpulan rentan berpendapatan rendah.
"Jumlah OKU di Selangor memang besar, tetapi kita akan tumpukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, khususnya dalam kategori pendapatan isi rumah rendah," ujarnya.
Tambah beliau, cadangan penyelarasan itu dijangka dibentangkan dalam tempoh 10 hari seperti ditetapkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut meneroka peluang pekerjaan tambahan untuk golongan OKU melalui kerjasama dengan platform ekonomi gig, termasuk kerja dari rumah.
"Antara yang sedang kita teliti ialah peluang kerja fleksibel dari rumah bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan, contohnya kerja melipat pakaian. Perkara ini masih dalam penelitian lanjut," katanya.









