Prestasi renang Para SUKMA Selangor membanggakan, sasaran tercapai

8 Sep 2026, 1:30 PM
Prestasi renang Para SUKMA Selangor membanggakan, sasaran tercapai
Prestasi renang Para SUKMA Selangor membanggakan, sasaran tercapai
Prestasi renang Para SUKMA Selangor membanggakan, sasaran tercapai
Prestasi renang Para SUKMA Selangor membanggakan, sasaran tercapai

SHAH ALAM, 8 SEPT: Prestasi cemerlang skuad renang Selangor pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mendapat pujian Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron.

Beliau yang meninjau perkembangan atlet di Pusat Akuatik Shah Alam hari ini berkata, pencapaian skuad berkenaan setakat ini amat membanggakan dan menepati sasaran ditetapkan.

Menurutnya, kejayaan Ahmad Darwish Irfan meraih tiga pingat emas selain memecahkan rekod kebangsaan menjadi antara pencapaian paling membanggakan kontinjen negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron

“Alhamdulillah, saya sempat berbincang dengan pengurusan Persatuan Renang Para Selangor dan mereka memaklumkan prestasi atlet sangat baik serta berjaya mencapai sasaran.

“Saya turut bangga apabila seorang atlet kita sudah meraih tiga emas dan memecahkan rekod kebangsaan. Saya harap dia mampu menambah satu lagi emas pada hari terakhir untuk melengkapkan semua acara disertainya,” katanya.

Danial turut berharap pencapaian atlet berkenaan membolehkannya dipertimbangkan sebagai Olahragawan Para SUKMA kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kekurangan dari segi fizikal atau intelektual tidak seharusnya menjadi penghalang kepada atlet orang kurang upaya (OKU) untuk membuktikan kemampuan dalam bidang sukan.

Menurutnya, sokongan keluarga terutama ibu bapa memainkan peranan penting dalam membina keyakinan dan semangat atlet untuk terus berjuang.

“Saya lihat ibu bapa dan keluarga memberikan sokongan yang sangat padu. Itu sudah cukup untuk memberikan semangat kepada mereka untuk berjuang dalam Para SUKMA kali ini,” katanya.

Ahmad Darwish Irfan meraih tiga pingat emas selain memecahkan rekod kebangsaan. Foto Harimau Malaya

Danial berkata, penglibatan dalam sukan turut membuktikan golongan OKU mempunyai pelbagai ruang dan peluang untuk membina kehidupan serta masa depan yang lebih baik.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat khususnya warga Shah Alam supaya hadir ke venue pertandingan bagi memberikan sokongan kepada atlet Selangor yang masih berjuang.

“Kita harus berikan pujian dan sokongan sementara masih ada beberapa hari lagi. Saya harap warga Shah Alam dapat hadir memberikan sokongan kepada atlet Selangor,” katanya.

Setakat ini, kontinjen Para SUKMA Selangor sudah mengumpul 18 pingat emas dalam acara renang dan 37 emas secara keseluruhan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.