SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan 23 kompaun atas pelbagai kesalahan premis perniagaan dan operasi penjaja di sekitar Bandar Country Homes dan Pekang Rawang, pada 6 September lalu.
MPS dalam kenyataan di Facebook semalam, memaklumkan bahawa 17 kompaun dikeluarkan di Pasar Malam Bandar Country Homes.
Ia melibatkan sembilan kes tiada premit penjaja dan dua kes pemegang premit yang menggunakan khidmat warga asing dalam perniagaan.
Tambah kenyataan lagi, enam lagi kes kerana pemegang premis tidak berada di lokasi semasa aktiviti perniagaan dijalankan.
MPS turut memaklumkan bahawa Operasi Bersepadu Penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan serta Jabatan Pelesenan MPS itu bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007.
Dalam pada masa sama, sebanyak dua kompaun turut dikeluarkan di Jalan Pusat 1A, Bandar Country Homes dan empat kompaun di Jalan Welman, Pekan Rawang, masing-masing atas kesalahan menjalankan aktiviti penjajaan tanpa permit.
MPS turut menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan itu akan terus komited menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti penjajaan di kawasan pentadbiran MPS mematuhi peraturan yang ditetapkan.








