
Ruang balkoni kecil yang dimanfaatkan untuk hobi berkebun kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan buat Marlyana Mohamed.
Minat wanita berusia 31 tahun itu terhadap pokok pada awalnya tidak pernah dirancang sebagai perniagaan.
Namun, apabila tanaman yang turut diletakkan sebagai hiasan di meja bilik guru mula menarik perhatian, dari situ muncul permintaan untuk membeli.
“Saya tak pernah rancang untuk menjual sebenarnya. Saya fokus pada pokok-pokok hiasan dalaman. Lepas itu, saya mula tanam dekat dalam bilik guru. Dekat meja saya memang penuh sangat pokok-pokok hiasan dalaman.
“Kemudian, kawan-kawan cikgu di sekolah berminat untuk beli. Kita ini tak pernah pun kira bajet berapa kerana buat sebagai hobi, sebagai untuk nak duduk di tempat kita itu rasa tenang,” katanya ketika dikunjungi Media Selangor di kediamannya di Puncak Alam.

Bermula dengan hanya menjual kepada rakan sekerja, Marlyana kemudiannya mula mengambil tempahan daripada penduduk sekitar Puncak Alam.
Permintaan yang semakin meningkat turut mendorongnya berkongsi aktiviti dan pengalaman berkebun menerusi akaun TikTok, MaryCollin, yang kini menjadi antara platform untuk pelanggan membeli tanaman daripadanya..
Hobi jadi pendapatan
Bagi memastikan ruang yang terhad dapat digunakan sebaiknya, Marlyana memilih untuk memanfaatkan bahagian dinding berbanding memenuhi lantai dengan pasu.
Susunan tanaman secara menegak bukan sahaja menjadikan balkoni lebih kemas, malah membolehkannya menambah lebih banyak jenis pokok tanpa mengambil terlalu banyak ruang.
Pada masa sama, pendekatan itu turut mengambil kira keselamatan anak kecilnya berusia setahun lima bulan yang aktif meneroka dan gemar memegang pelbagai benda di sekeliling.
“Kalau saya letak pasu yang banyak dekat bahagian bawah, potensi untuk anak saya usik pokok-pokok saya, main tanah itu agak tinggi. Saya takut dia makan tanah.
“Jadinya, saya gunakan dinding yang tinggi supaya dia tak boleh nak capai dari situ,” katanya.

Pemilihan tanaman di dinding turut menjadikan balkoni yang sebelum itu kosong lebih menarik, di samping membolehkannya menggunakan hasil tanaman untuk kegunaan harian di dapur.
Apabila hasil sayuran terlalu banyak, sebahagiannya turut dikongsi bersama jiran tetangga. Malah, dia akan memaklumkan dalam kumpulan kejiranan sekiranya ada penduduk yang memerlukan hasil tanaman tersebut.
Perkongsian itu secara tidak langsung merapatkan hubungan dengan penduduk sekitar, selain menjadikan minatnya terhadap tanaman semakin dikenali dalam kawasan kejiranan.
“Kalau macam kejiranan saya ini, memang saya dikenali sebagai Akak Pokok. Akak Pokok sebab ramai juga jiran-jiran yang beli pokok indoor daripada saya,” katanya.
Minat itu semakin berkembang apabila tempahan turut melibatkan tanaman sayuran selain pokok hiasan.

Pada peringkat awal, Marlyana hanya menjual sekitar 10 hingga 20 pokok sebulan. Namun, jumlah itu meningkat apabila pelanggan mula membuat tempahan dalam kuantiti lebih besar.
“Kalau macam sekarang ini, bila saya dah masuk pokok sayur dan pokok hiasan, sekali pelanggan tempah untuk pokok sayuran ada yang ambil sampai 15 pasu seorang.
“Tapi cabaran saya pula, saya cuma ada balkoni yang kecil sahaja. Saya tak simpan stok. Saya buat ikut tempahan, tapi pokok masih kena dapat matahari. Jadi saya tak boleh nak letak banyak-banyak,” katanya.
Walaupun hanya menguruskan tempahan pada waktu lapang, jumlah tanaman yang dijual kini mampu mencecah antara 100 hingga 120 pokok sebulan.

Namun, sebagai seorang guru yang turut terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan sukan, Marlyana perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan tempahan pelanggan.
Kesibukan itu menyebabkan dia mengehadkan tempahan, selain hanya memberi tumpuan kepada penyediaan tanaman pada hujung minggu bagi memastikan pokok yang dijaga tidak terabai.
“Kalau purata sekarang, sebulan dalam 100 ke 120 jugalah. Tapi ikut juga kalau masa itu saya sibuk dengan tugasan-tugasan sekolah, saya akan hadkan tempahan dan kurangkan ambil pesanan,” katanya.
Belajar daripada kesilapan
Di sebalik perkembangan itu, perjalanan Marlyana dalam dunia tanaman bukan sentiasa mudah.
Banyak percubaan awal gagal sebelum dia mula memahami keperluan pokok melalui pengalaman sendiri serta perkongsian daripada individu lain yang berkongsi ilmu berkebun.
Bagi guru pendidikan jasmani itu, istilah “tangan panas” yang sering dikaitkan dengan kegagalan menanam sebenarnya lebih kepada kekurangan pengetahuan.
“Sebenarnya, istilah tangan panas itu mitos. Sebenarnya kekurangan ilmu. Saya dulu pun menanam sebelum menjadi ini, tak menjadi juga banyak. Saya macam, mungkin tangan saya panas.
“Lepas itu bila saya belajar, saya belajar bukannya ambil kursus apa-apa pun. Saya pun cikgu pendidikan jasmani, bukannya cikgu bahagian tanaman,” katanya.

Dia kemudiannya belajar melalui perkongsian di media sosial, pengalaman orang lain serta kaedah cuba dan silap sebelum semakin memahami cara menjaga tanaman.
Bagi mengatasi kekangan masa, Marlyana turut menggunakan pasu siraman kendiri yang membolehkan tanaman mendapat bekalan air tanpa perlu disiram setiap hari.
Kaedah itu memudahkan urusan penjagaan tanaman, terutama ketika dia sibuk dengan tugas di sekolah dan aktiviti keluarga.
Daripada beberapa pokok di atas meja bilik guru, minat itu kini berkembang menjadi sumber pendapatan yang diusahakan dari balkoni apartmennya.
Bagi Marlyana, ruang kecil dan kehidupan yang sibuk bukan alasan untuk tidak memulakan sesuatu kerana minat yang dipupuk dengan kesungguhan boleh berkembang menjadi peluang.
Perjalanannya membuktikan sesuatu yang bermula secara kecil-kecilan tidak semestinya kekal kecil selagi ada minat untuk belajar dan keberanian untuk mencuba.






