
Ramai yang minat menanam pokok hiasan di rumah tetapi hasrat itu kadangkala terbantut apabila kediaman tidak mempunyai ruang menerima cahaya matahari mencukupi.
Namun, kekurangan pencahayaan bukan bermakna impian memiliki sudut hijau di rumah perlu dilupakan.
Beberapa jenis tanaman hiasan masih mampu tumbuh baik walaupun dalam ruang yang mempunyai pencahayaan terhad.
Antaranya aglonema, pokok ZZ (Zamioculcas zamiifolia) dan pokok duit yang tidak memerlukan penjagaan rumit serta sesuai untuk ruang kecil.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan tanaman hiasan, pemilihan pokok mengikut keadaan ruang penting supaya tanaman terus hidup subur tanpa memerlukan perhatian berlebihan.
Aglonema antara pilihan yang sesuai terutama bagi mereka yang baru mencuba kerana mampu bertahan dalam keadaan cahaya rendah hingga sederhana serta tidak memerlukan siraman terlalu kerap, menjadikannya antara tanaman yang mudah dijaga.
“Pokok pertama saya beli tu aglonema. Dari situ saya mula satu-satu. Bila mula, ia jadi macam hobi. Buat kita gembira, buat kita tenang,” kata pemilik Home Mine Garden Niramon Chum, 50 ketika ditemui Media Selangor di Pasar Komuniti di Rumah Kelab Valencia pada 5 September.
Selain mudah dijaga, aglonema mempunyai pelbagai bentuk dan warna daun yang membolehkan pemilik menghasilkan susunan menarik walaupun hanya menggunakan ruang kecil.
Bagi memastikan pertumbuhannya baik, aglonema sesuai diletakkan di kawasan menerima cahaya tidak langsung, manakala tanah pula perlu mempunyai saliran baik supaya air tidak bertakung.
Pokok ZZ pula antara tanaman yang mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan cahaya, termasuk ruang redup, selain mempunyai keupayaan menyimpan air pada bahagian rizomnya.
Sifat itu menjadikan pokok ZZ sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai banyak masa menguruskan tanaman kerana siraman perlu dilakukan secara sederhana dan tanah dibiarkan mengering sebelum disiram semula.
Pokok duit atau Epipremnum aureum turut menjadi pilihan untuk ruang kurang cahaya kerana boleh hidup dalam keadaan pencahayaan rendah hingga sederhana, sekali gus sesuai diletakkan di ruang seperti laluan, sudut rumah atau berhampiran tingkap yang menerima cahaya tidak langsung.
Ruang
Pemilihan tanaman bagaimanapun perlu disesuaikan dengan keadaan sebenar ruang kerana tiada tanaman boleh hidup tanpa cahaya langsung dalam tempoh panjang.

Bagi Niramon, tanaman yang mudah dijaga dapat membantu mereka yang tinggal di ruang kecil atau mempunyai kekangan masa untuk tetap menikmati suasana hijau di kediaman.
Keadaan berbeza bagi tumbuhan sukulen seperti kaktus yang lazimnya memerlukan pencahayaan lebih banyak berbanding tanaman tahan teduh, selain perlu dielakkan daripada penyiraman berlebihan.
Niramon sendiri lebih banyak menggunakan sukulen dan kaktus sebagai sebahagian daripada koleksi serta jualannya kerana bentuk tanaman yang menarik dan penjagaan yang tidak memerlukan banyak air.
Minatnya terhadap tanaman bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020 apabila lebih banyak masa dihabiskan di rumah, sebelum koleksi aglonema pertamanya berkembang kepada pelbagai jenis tanaman.
Daripada sekadar mengisi masa lapang, minat itu kemudian berkembang sehingga Niramon mula menghasilkan anak pokok untuk dikongsi dan dijual, namun kisah perjalanan daripada hobi kepada perniagaan itu akan menjadi cerita berbeza.
Bagi peminat tanaman, ruang kurang cahaya bukan alasan untuk mengetepikan kehijauan kerana pemilihan spesies yang sesuai serta penjagaan mengikut keperluannya mampu menjadikan sudut kediaman lebih segar dan menarik.











