
Bagi sesetengah pengusaha, ladang mungkin sekadar tempat menanam dan menuai hasil.
Namun bagi Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, 47, ladang nanas miliknya boleh menjadi lebih daripada itu.
Daripada hanya menghasilkan buah, pengusaha Saudagar Nanas Agrofarm di Sungai Merab itu melihat peluang untuk menjadikan pertanian sebagai satu pengalaman yang boleh dikongsi bersama orang ramai.
Idea itu mula tercetus selepas beliau melancong bersama keluarga pada 2019.
Ketika itu, beliau tertarik melihat bagaimana hasil pertanian boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk, selain menjadi tarikan pengunjung.

“Saya pernah jadi peniaga. Saya pernah hantar buah ke sekitar Lembah Klang, ambil buah dari Johor. Saya pernah hantar buah ke Sabah dan Sarawak. Tapi pada tahun 2019, saya pergi melancong dengan keluarga. Di situ ada banyak agro-pelancongan. Teh ada, strawberi ada, macam-macam.
“Jadi, dapat idea itu masa saya minum di satu kafe. Kafe itu kafe strawberi. Saya order nasi lemak strawberi, ada kek strawberi, ada jus strawberi. Dari situ saya cakap dengan isteri, nanas pun ada banyak produk. Kita boleh buat macam ini juga,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Sudagar Nanas Agrofarm di Sungai Merab, Bangi baharu ini.

Daripada idea itu, Mohd Noorhardy mula mengkaji konsep agro-pelancongan dengan lebih serius.
Dari 2019 hingga 2021, beliau mengunjungi beberapa lokasi di Malaysia untuk melihat bagaimana ladang dan hasil pertanian boleh dibangunkan sebagai tarikan pelancongan.
Beliau kemudian membangunkan projek berkenaan pada 2021 sebelum mula beroperasi pada 2022. Saudagar Nanas dibuka kepada orang ramai pada 5 Februari 2022 dan mula menjadi tumpuan sehari kemudian apabila lokasi itu tular.
“Bayangkan satu hari saya tenang. Lepas tu tular, ramai. Pernah sampai beratur di tengah parking. Masa peringkat awal,” katanya.
Pengalaman pengunjung
Namun bagi Mohd Noorhardy, menarik orang datang bukan sekadar menyediakan tempat yang cantik.
Beliau melihat unsur alam semula jadi dan pengalaman pengunjung sebagai bahagian penting dalam membina sesebuah destinasi tarikan ramai.
Saudagar Nanas Agrofarm turut menyediakan pakej lawatan pendidikan yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali pertanian dengan lebih dekat.
“Kita memang ada buat pakej lawatan, 'education trip'. Maksudnya, kita nak bagi penerangan kepada orang luar tentang pertanian daripada A sampai Z.
“Contohnya sekolah. Budak-budak bandar pun kadang-kadang tak tahu tentang pertanian. Tak tahu macam mana nak tanam, pokok nanas pun tak pernah tengok. Lepas itu kita bagi mereka terlibat, macam mana nak tanam, macam mana nak petik buah, macam mana nak membaja,” katanya.

Pendekatan itu menjadikan ladang bukan sekadar tempat untuk melihat tanaman, tetapi ruang pembelajaran yang memperkenalkan pertanian kepada generasi muda.
Modul turut disediakan mengikut kumpulan pengunjung, termasuk penerangan mengenai peluang pertanian sebagai pilihan kerjaya.
Pada masa sama, Mohd Noorhardy mengembangkan nanas kepada pelbagai produk hiliran dan menjadikan kafe sebagai sebahagian daripada pengalaman pengunjung.
“Daripada A sampai Z kami buat di sini. Kita mula tanam, tuai buah, kita proses dan kita jual. Sebab itu bila kita buat konsep agro-pelancongan ini, produk-produk nanas pun kita banyak buat di sini,” katanya.
Konsep itu turut membuka ruang kepada pasaran lebih luas. Menurutnya, hasil buah di atas tanah seluas 14 ekar tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kafe, menyebabkan terpaksa membeli bekalan tambahan daripada pengeluar lain.
Justeru, produk hiliran menjadi satu lagi ruang untuk mengembangkan nilai nanas tanpa bergantung sepenuhnya kepada jualan buah segar.
Perkembangan itu membawa Saudagar Nanas kepada beberapa pengiktirafan, termasuk Ikon Agro Selangor 2022 dan tempat keempat daripada 20 agro-pelancongan terbaik di Malaysia.
Terbaharu, Saudagar Nanas menerima Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 bagi kategori Pelancongan Agro, antara 24 produk yang diiktiraf Tourism Selangor.
Lawatan RMS
Pada 9 Mei 2024, lawatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke Saudagar Nanas Agrofarm turut menjadi antara detik yang meninggalkan kesan kepada Mohd Noorhardy.
Katanya, kunjungan itu berlangsung dalam suasana yang lebih santai berbanding protokol biasa apabila melibatkan kerabat istana sekali gus membuatkannya berasa Baginda selesa sepanjang berada di ladang berkenaan.
Lebih bermakna apabila ketika beliau memberikan penerangan, terdapat pelanggan yang datang untuk bergambar dan Baginda sendiri menerangkan kepada mereka mengenai apa yang ditawarkan di Saudagar Nanas Agrofarm.
“Tapi detik yang saya paling suka, saya ingat lagi, masa saya bagi penerangan pada Baginda, kemudian masa tu ada juga pelanggan datang. Jadi masa pelanggan datang nak bergambar, Baginda pula ceritakan apa yang kami tawarkan kat sini. Seolah-olah saya dengan Baginda bersama dalam projek ini. Itu saya tak akan lupa.”
Namun Mohd Noorhardy tidak mahu berhenti setakat nanas. Selepas membangunkan konsep agro-pelancongan berasaskan nanas, beliau kini merancang projek baharu berasaskan kopi di lokasi sama yang dijangka dibuka pada hujung tahun ini.
Konsep itu juga membawa pendekatan sama, iaitu menjadikan proses penghasilan sebagai sebahagian daripada pengalaman pengunjung, daripada pokok kopi, memetik dan memproses buah sehingga mengeringkan serta memanggang biji kopi sebelum dinikmati di kafe.
Daripada nanas kepada kopi, Mohd Noorhardy jelas tidak lagi melihat pertanian hanya dari sudut menghasilkan sesuatu untuk dijual.
Sebaliknya, hasil pertanian boleh menjadi cerita, pengalaman dan alasan untuk orang datang melihat sendiri bagaimana makanan yang mereka nikmati bermula.
Dan itulah yang cuba dibina di Saudagar Nanas Agrofarm. Bukan sekadar kebun yang menghasilkan nanas, tetapi sebuah destinasi yang membawa orang lebih dekat dengan dunia pertanian.










