Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor

15 Sep 2026, 3:00 AM
Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor
Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor
Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor
Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor
Nanas ubah nasib, dari hilang segalanya ke Ikon Agro Selangor

Ada ketika dalam hidup, seseorang terpaksa bermula semula dari bawah sebelum menemukan jalan untuk bangkit.

Bagi Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, 47, jalan itu ditemukannya melalui sebidang tanah keluarga dan tanaman nanas.

Hari ini, beliau mengusahakan Saudagar Nanas Agrofarm di Sungai Merab, Bangi, dengan kawasan tanaman seluas 14 ekar. Namun, perjalanan untuk sampai ke tahap itu jauh daripada mudah.

Sebelum bergelar pengusaha pertanian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu pernah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 11 tahun.

Keputusan meninggalkan kerjaya tetap untuk berniaga pada awalnya memberi harapan baharu, namun perniagaan yang dibina hanya bertahan sekitar dua hingga tiga tahun.

Kegagalan itu menyebabkan beliau kehilangan sumber pendapatan, rumah dan kereta sebelum terpaksa kembali ke Sungai Merab dan tinggal bersama keluarga mentua.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu turut melalui tempoh kemurungan yang panjang.

Lebih berat untuk ditanggung ialah rasa bersalah kerana merasakan dirinya mengecewakan ibu bapa yang sebelum itu melihat beliau mempunyai kerjaya dan kehidupan stabil.

Wawancara penerima Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor kategori pelancongan agro Saudagar Nenas Agrofarm Mohd Noorhardy Mohd Noorzain di Sungai Merab pada 26 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Umrah buka ruang bangkit

Dalam keadaan hampir kehilangan segala-galanya, seorang sahabat ketika menuntut di UPM menjadi antara individu yang membantu Mohd Noorhardy mencari kembali kekuatan.

Sahabatnya membawanya menunaikan umrah dan menanggung kos perjalanan tersebut.

"Masa saya kemurungan tu, dia bawa saya pergi Umrah. Dia beritahu saya, aku bawa kau pergi Umrah lah. Aku belanja kau pergi Umrah, kau mengadulah di sana.

"Dia ini memang jenis suka tolong orang, sampai sekarang. Tapi dia bawa saya seorang lah. Maksudnya dia taja pembanjaan dekat sana tapi makan minum keluarga sini biaya. Saya memang tak ada duit," katanya ketika ditemui Media Selangor, baru-baru ini.

Sekembalinya ke tanah air, beliau mula mencari ruang untuk membina semula kehidupan.

Melalui seorang kenalan, Mohd Noorhardy mula menjual nanas yang dibekalkan kepadanya sebelum mendapat dorongan rakan UPM yang terbabit dalam pertanian serta kenalan daripada agensi berkaitan.

Daripada sekadar menjual buah, beliau mula melihat pertanian sebagai peluang yang boleh diusahakan dengan lebih serius.

Ketika itulah fikirannya terarah kepada tanah keluarga seluas tiga ekar di Sungai Merab yang tidak digunakan.

Pada 2018, beliau memulakan tanaman nanas dengan bantuan benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Namun, memulakan kebun daripada tanah kosong bukan sesuatu yang mudah.

Selain kekurangan kemudahan, kerja membersihkan dan menyediakan kawasan tanaman memerlukan modal yang besar.

Sekali lagi, sahabat yang pernah membantunya tampil menghulurkan pinjaman RM16,000 bagi membolehkan tanah berkenaan dibangunkan.

Pemandangan yang indah di Saudagar Nenas Agrofarm di Sungai Merab pada 26 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dari tiga ekar ke 14 ekar

Cabaran belum berakhir.

Pada musim Aidilfitri 2018, sebahagian tanaman nanasnya rosak selepas diserang babi hutan. Kejadian itu menjadi satu lagi ujian ketika kebunnya baru hendak berkembang.

Namun kali ini, Mohd Noorhardy memilih untuk terus bertahan. Sedikit demi sedikit, kawasan tanaman diperluaskan sehingga kini mencecah 14 ekar.

Setiap ekar mampu menghasilkan antara 12 hingga 14 tan metrik nanas bagi satu pusingan tanaman.

Apa yang bermula sebagai usaha mendapatkan semula sumber pendapatan akhirnya berkembang menjadi perusahaan yang mempunyai pasaran sendiri.

Keseluruhan hasil kebunnya dipasarkan menerusi kafe yang diusahakan, malah pengeluaran sendiri masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Keadaan itu menyebabkan beliau turut mendapatkan bekalan nanas daripada pengusaha lain.

Pengalaman tersebut juga mengubah cara Mohd Noorhardy melihat pertanian.

Baginya, menjadi petani bukan sekadar menanam dan menunggu hasil. Pengusaha juga perlu memahami pasaran, kehendak pelanggan dan bagaimana hasil pertanian boleh diberi nilai tambah.

Antara produk yang terdapat d Saudagar Nenas Agrofarm di Sungai Merab pada 26 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Nanas bukan sekadar buah

Daripada menjual buah segar, nanas yang dihasilkan mula dikembangkan kepada pelbagai produk makanan.

Kafenya turut mengetengahkan menu berasaskan nanas sekali gus memberi nilai tambahan kepada hasil kebun.

Perusahaan itu kemudian berkembang daripada sebuah kebun kepada lokasi yang turut menerima kunjungan orang ramai untuk mengenali tanaman nanas dengan lebih dekat.

Gabungan pertanian, makanan dan pengalaman di kebun membuka satu lagi cabang kepada Saudagar Nanas Agrofarm menerusi agropelancongan.

Usaha itu kemudiannya mendapat pengiktirafan apabila Mohd Noorhardy dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2022.

Saudagar Nanas Agrofarm juga pernah menduduki tempat keempat daripada 20 lokasi agropelancongan terbaik di Malaysia.

Terbaharu, Saudagar Nanas menerima Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 bagi kategori Pelancongan Agro, antara 24 produk pelancongan yang mendapat pengiktirafan Tourism Selangor.

Namun bagi Mohd Noorhardy, pencapaian itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar anugerah.

Ia menjadi bukti bahawa tanah yang suatu ketika dahulu tidak diusahakan mampu menjadi tempat beliau membina kembali kehidupan.

Lebih bermakna, arwah bapanya sempat menyaksikan perubahan tersebut sebelum meninggal dunia pada 2025.

“Sebab arwah ayah saya yang paling banyak tolong dan beri saya kekuatan untuk terus bangkit semula lah. Sempat juga lah saya tunjuk apa yang saya dapat sekarang kat dia lah, sebelum dia pergi,” katanya sambil menahan sebak.

Selain bapanya, isteri serta keluarga mentua menjadi antara individu penting yang berdiri bersamanya ketika melalui fasa paling sukar.

Sokongan itu memberi ruang untuk beliau terus mengusahakan pertanian sehingga mampu berdiri seperti hari ini.

Kini, pengalaman sendiri menjadi pesanan Mohd Noorhardy kepada generasi muda supaya berani mencari jalan baharu apabila sesuatu yang dirancang tidak menjadi kenyataan.

“Kita jangan tunggu apa yang kita nak itu dapat. Sebab kalau terlalu lama tak dapat-dapat, sampai bila kita nak tunggu?”

Daripada tiga ekar tanah keluarga, tanaman nanas akhirnya membuka jalan kepada kehidupan baharu.

Ia bukan sekadar mengembalikan sumber pendapatan Mohd Noorhardy, malah berkembang menjadi perusahaan pertanian, yang turut memberi inspirasi kepada insan lain.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.