
SHAH ALAM, 22 SEPT: Tinggal di pangsapuri yang hanya mempunyai ruang balkoni kecil bukan penghalang untuk menghasilkan sendiri tanaman makanan yang sihat dan segar.
Bagi Marlyana Mohamed, 31, menanam sayur dan tanaman makanan di rumah bukan sekadar hobi, malah memberi peluang kepada keluarganya menikmati hasil tangan sendiri.
Selain memilih tanaman yang mempunyai manfaat untuk kegunaan harian, proses penjagaan yang menggunakan baja organik dan bahan berasaskan sumber semula jadi untuk mengawal serangga turut memberi keyakinan terhadap makanan yang diambil.
Dengan mengetahui sendiri apa yang diberikan kepada setiap pokok, hasil tanaman boleh terus dimanfaatkan untuk kegunaan dapur tanpa terlalu memikirkan proses yang dilalui sebelum sampai ke tangan pengguna.
Baginya, usaha menanam sendiri bukan sahaja memberikan lebih keyakinan kerana setiap proses penjagaan dilakukan sendiri, malah turut menjimatkan belanja harian.
“Kalau kita buat sendiri, kita dah tahu dah. Kita nak makan pun tanpa rasa was-was,” katanya ketika ditemui Media Selangor di kediamannya di Puncak Alam.

Manfaat ruang kecil
Tidak semua tanaman makanan memerlukan ruang yang luas atau penjagaan yang rumit.
Bagi mereka yang baru mahu bermula, Marlyana mencadangkan beberapa jenis tanaman yang mudah dijaga dan sesuai diusahakan di rumah, termasuk bayam Brazil, pokok kari, limau kasturi dan limau purut.
Selain itu, salad dan ulam raja juga antara tanaman makanan yang boleh diusahakan di ruang kecil untuk kegunaan harian.
Tanaman seperti ini sesuai untuk individu yang tinggal di pangsapuri atau mempunyai masa terhad untuk mengurus kebun.
“Saya mencadangkan kalau rumah tak ada ruang yang banyak, contohnya apartmen cuma ada balkoni sahaja, boleh mula dengan bayam Brazil, pokok kari pun boleh, pokok limau kasturi dan pokok limau purut.
“Ini antara pokok-pokok yang tak banyak ragam. Kira kalau kita tanam itu, menjadi. Memang tak banyak ragam, senang sahaja,” katanya.
Menurut guru pendidikan jasmani itu, mereka yang baru mahu mencuba juga tidak semestinya perlu bermula dengan biji benih.

Penggunaan anak pokok atau keratan batang lebih praktikal kerana dapat menjimatkan ruang dan mempercepatkan proses penanaman.
Namun, ketika memindahkan anak pokok ke pasu baharu, tanah asal terutama di bahagian akar tidak seharusnya dibuang sepenuhnya bagi mengelakkan pokok mengalami tekanan.
“Kalau nak buang, buang sikit-sikit sahaja. Jangan buang semua, terutama bahagian akar. Kalau ada tanah-tanah itu, jangan buang semua sebab dia ada potensi untuk merajuk dan mati,” jelasnya.
Dari balkoni ke dapur
Selain memberi kepuasan melihat tanaman membesar, hasil yang dituai juga boleh terus dimanfaatkan dalam penyediaan makanan harian sekali gus menjimatkan belanja harian.
Bayam Brazil misalnya boleh dijadikan ulam atau dimasak, manakala ulam raja sesuai dijadikan pelengkap hidangan.
Limau kasturi pula boleh digunakan untuk menambah rasa dalam minuman harian, di samping menjadi antara sumber vitamin C.
“Kalau kita bosan minum air masak sahaja hari-hari, boleh perahkan limau dalam minuman kita untuk tambahan perasa,” katanya.
Bayam Brazil antara tanaman yang dianggap mudah kerana boleh dibiakkan menggunakan keratan batang tanpa perlu menunggu proses percambahan biji benih.
“Bayam Brazil itu sendiri, kalau kita beli dekat pasar raya pun, keratan batang yang tua itu kita boleh cucuk sendiri sahaja. Dalam seminggu dah mula tumbuh akar, kemudian akan mula tumbuh pucuk,” katanya.
Bagi Marlyana, kekangan ruang dan kesibukan bekerja bukan alasan untuk tidak memulakan tanaman sendiri.
Dengan memilih jenis tanaman makanan yang sesuai serta kaedah penjagaan yang praktikal, ruang kecil di rumah juga mampu menghasilkan sumber makanan yang segar untuk kegunaan harian.
Apa yang penting, katanya, bermula dengan langkah kecil dan belajar memahami keperluan setiap tanaman.
Daripada sekadar satu sudut balkoni, ruang kecil itu akhirnya membuktikan bahawa untuk menikmati makanan yang lebih diyakini, kita tidak semestinya memerlukan kebun yang luas.











