SHAH ALAM, 7 SEPT: Sokongan dana Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI memberi peluang kepada atlet muda Selangor memperkukuh persiapan, mendapatkan keperluan pertandingan sekali gus mengembangkan potensi masing-masing.
Bagi pemain badminton muda Mohammad Airulsyam, 15, bantuan berkenaan mahu dimanfaatkan sebaiknya untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan akan datang, sekali gus memburu impian beraksi untuk negara.

"Sumbangan ini menjadi suntikan semangat untuk saya terus mengasah kemampuan dan memburu peluang mewakili negara suatu hari nanti," katanya.
Airulsyam antara 14 penerima sumbangan RM52,000 daripada Yayasan MBI yang disalurkan bagi membantu mengembangkan potensi anak Selangor dalam bidang sukan dan pendidikan pada satu majlis di sini hari ini.
Mula menceburi badminton sejak berusia enam tahun, Airulsyam kini mengumpul pengalaman di peringkat kompetitif selepas meraih tempat ketiga pada pertandingan Mith Yonex Pathumthanee Junior International di Thailand baru-baru ini.
Jurulatihnya, Muhammad Roslin Hashim berkata sumbangan berkenaan dapat membantu menyediakan keperluan Airulsyam bagi menghadapi kejohanan akan datang.

“Dengan sumbangan ini, kita boleh buat persediaan untuk kejohanan yang akan datang,” kata bekas pemain badminton negara itu.
Menurutnya, pendedahan menerusi kejohanan kompetitif penting untuk membolehkan Airulsyam mengumpul pengalaman, memperkemas permainan dan meningkatkan tahap persaingan.
Bagaimanapun, katanya, penglibatan aktif dalam sukan perlu diseimbangkan dengan pendidikan bagi memastikan anak didiknya tidak tercicir dalam pelajaran.

Sementara itu, jurulatih memanah kategori barebow, Muhammad Marbawi Sulaiman, 43, melihat sokongan sama sebagai peluang untuk membantu atlet membuat persiapan, selain memperkukuh pembangunan sukan yang masih baharu di Malaysia.
Menurutnya, barebow mula berkembang di Malaysia sejak empat hingga lima tahun lalu dan kini sedang diusahakan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA.

“Saya harap sukan ini dapat diperluaskan lagi dan ada pelapis yang akan meneruskannya pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata sumbangan berkenaan sedikit sebanyak membantu atlet mendapatkan peralatan serta membuat persiapan menghadapi pertandingan akan datang.
Katanya, meskipun sukan memanah secara keseluruhannya memerlukan kos yang tinggi, kategori barebow mempunyai kos peralatan lebih rendah dan berpotensi menarik lebih ramai penyertaan.






