Yayasan MBI salur barangan keperluan asas bernilai lebih RM30,000 kepada mangsa banjir

5 Nov 2026, 6:52 AM
Yayasan MBI salur barangan keperluan asas bernilai lebih RM30,000 kepada mangsa banjir
Yayasan MBI salur barangan keperluan asas bernilai lebih RM30,000 kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 5 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai RM30,740 kepada lebih 300 mangsa banjir di tiga lokasi terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu disalurkan kepada mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) serta penduduk Kampung Melayu Subang bagi meringankan beban mereka.

Jelas beliau, sumbangan tersebut merangkumi keperluan harian dan kelengkapan tidur bagi membantu memastikan keselesaan serta kebajikan mangsa sepanjang tempoh berdepan bencana itu.

"Antara barangan yang disediakan termasuk set toto, selimut, air mineral, biskut, mi segera dan cerek air bagi memenuhi keperluan harian mangsa," katanya kepada Media Selangor.

Ahmad Azri berkata sejumlah RM10,000 diperuntukkan masing-masing kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak dan PPS Dewan Seri Pagi Paya Jaras, Sungai Buloh.

“Manakala RM10,740 disalurkan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara bagi membantu penduduk Kampung Melayu Subang yang turut terjejas akibat banjir.

“Yayasan MBI berharap sumbangan yang dihulurkan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa, khususnya mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan berlindung di PPS,” katanya.

Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, termasuk sekitar Shah Alam dan Subang.

Kampung Melayu Subang antara kawasan yang paling teruk terjejas.

Banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50). Paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter di kawasan kediaman penduduk.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.