SHAH ALAM, 7 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI memperuntukkan RM52,000 kepada 14 penerima bagi membantu mengembangkan potensi anak Selangor dalam bidang sukan dan pendidikan.
Ketua Yayasannya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata penerima melibatkan individu yang mencatat pencapaian dalam bidang masing-masing, termasuk atlet BMX, ragbi, memanah, badminton dan permotoran.
“Tiada had umur ditetapkan. Kita tidak melihat sama ada seseorang itu masih bersekolah atau tidak, tetapi apabila mereka sudah mewakili negeri atau negara, kita akan bantu mereka sebagai tanda sokongan.
“Kita menetapkan bahawa setiap individu hanya boleh menerima sumbangan sebanyak sekali sahaja dalam tempoh setahun,” katanya ketika ditemui pada majlis serahan sumbangan tersebut di Pejabat MBI di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah bantuan ditentukan berdasarkan kategori sama ada individu atau kumpulan, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mewakili Selangor dan negara.
Ahmad Azri berkata skop bantuan Yayasan MBI turut merangkumi pendidikan, keusahawanan, kelestarian dan komuniti, selain pembangunan sukan.
“Bukan hanya dari sudut sukan, tetapi kita juga akan bantu dari aspek pendidikan dan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata sokongan kepada atlet muda penting bagi memastikan mereka terus berkembang, manakala mahasiswa yang mengharumkan nama Selangor dan Malaysia dalam bidang pendidikan turut diberi perhatian.
Katanya, keberkesanan bantuan itu dapat dilihat menerusi kejayaan seorang penerima komputer riba pada tahun lalu yang meraih Anugerah Kecemerlangan Pelajar Perakaunan Kebangsaan (NASEA) tahun ini.
“Harapan saya kepada penerima, mereka seharusnya bersyukur, berterima kasih dan berasa bertuah kerana berada di Selangor.
“Kita mempunyai kepimpinan yang kuat dan ekonomi yang kukuh, sebab itu rakyat dapat menerima pelbagai bentuk sumbangan serta sokongan,” katanya.







