47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun

27 Okt 2026, 9:00 AM
47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun
47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun
47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun
47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun
47 penuntut IPT terima komputer riba, Internet percuma setahun

SHAH ALAM, 27 OKT: Seramai 47 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerima komputer riba serta kemudahan Internet percuma selama setahun daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI bagi membantu melancarkan pembelajaran mereka.

Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata penyerahan itu merupakan kumpulan kedua bagi tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan yayasan berkenaan dalam menyokong pendidikan anak Selangor.

Menurutnya, kemudahan Internet percuma selama 12 bulan turut disediakan bagi memudahkan penerima mengakses bahan akademik dan melaksanakan urusan pembelajaran secara dalam talian.

“Setiap tahun kita tidak pernah terlepas mengadakan penyerahan komputer riba ini kerana kita mahu membantu pelajar, khususnya dalam memastikan mereka mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk belajar.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui dalam program Penyerahan Komputer Riba kepada mahasiswa (kumpulan ke-2) di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 27 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita berharap komputer riba yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya dan membantu mereka dalam pembelajaran masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.

Ahmad Azri berkata, permohonan bantuan itu diterima menerusi pelbagai saluran, termasuk menerusi media sosial baru-baru ini dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, terdapat juga pelajar yang menghubungi Yayasan MBI selepas mengetahui mengenai bantuan berkenaan menerusi perkongsian yang tular di platform Threads.

Beliau menegaskan, pendidikan anak-anak Selangor sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan golongan berkenaan mendapat sokongan sewajarnya untuk melanjutkan pengajian.

“Kita sentiasa menitikberatkan pendidikan anak-anak Selangor dan berharap bantuan ini membantu pelajar meneruskan pembelajaran,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Azri menjelaskan pemberian komputer riba itu akan dilengkapi kad modul pengenalan pelanggan (SIM) Internet percuma selama 12 bulan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.