SHAH ALAM, 27 OKT: Bantuan komputer riba daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI meringankan beban pelajar yang memerlukan peralatan bagi memudahkan urusan pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Penerima bantuan, V Nilavarasan, 18, dari Padang Jawa berkata komputer riba berkenaan amat diperlukan bagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi maklumat (IT) di Politeknik Balik Pulau yang bakal bermula November ini.
Menurutnya, komputer riba sedia ada sudah lama dan menyukarkan urusan pembelajaran, terutama dalam bidang yang memerlukan penggunaan komputer secara kerap.

“Saya tahu mengenai bantuan ini melalui media sosial, jadi saya cuba memohon dan bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima.
“Terima kasih kepada Yayasan MBI atas bantuan ini. Sedikit sebanyak dapat membantu saya membuat tugasan dalam bidang yang dipelajari,” katanya ketika ditemui Media Selangor di ibu pejabat Yayasan MBI di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Fauzan Azman, 21, yang mewakili adiknya berkata sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban keluarga dalam menyediakan keperluan pembelajaran.
Menurut pemuda itu, adiknya yang mengikuti pengajian asasi Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan sebelum ini sering meminjam komputer ribanya untuk menyiapkan tugasan.

“Saya membantu adik memohon bantuan ini dan bersyukur kerana permohonan kami berjaya.
“Terima kasih kepada Yayasan MBI kerana membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Seorang lagi penerima, Rabiatul Adawiyah Mohamad Rizal, 18, bersyukur kerana tidak lagi perlu bergantung pada telefon bimbit dan tablet untuk pembelajaran selepas menerima sumbangan komputer riba berkenaan.
Beliau berkata permohonan bantuan berkenaan dibuat dengan pertolongan kakaknya.

“Saya sangat bersyukur dapat menerima bantuan ini kerana ia memudahkan urusan pelajaran. Semoga inisiatif ini dapat membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 47 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di sini, hari ini.










