
SHAH ALAM, 6 SEPT: Kontinjen Selangor mencatat tiga kemenangan dalam saingan badminton Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, di sini hari ini.
Aksi pagi menyaksikan Selangor meraih kemenangan menerusi Ahmad Najmi Aminudin dalam acara perseorangan lelaki SH6 (short stature/kerdil) selepas menewaskan wakil Terengganu, Ahmad Shahir Osman, 2-1.
Selangor turut mencatat kemenangan dalam acara perseorangan lelaki SL3 (standing lower) menerusi Muhammad Faiz Asri yang menundukkan wakil Pahang, Muhammad Afiq Suhaimy, 2-0.
Pada sebelah petang, gandingan Muhammad Huzairi dan Yashaiful Yayah menyumbang kemenangan ketiga selepas menewaskan pasangan Kedah, N Diness dan Muhamad Noor Halimin, 2-0 dalam acara beregu lelaki SL3-SU5.
Bagaimanapun, Selangor membuka saingan hari ini dengan kekalahan apabila wakil SH6, Muhamad Shah Helmi Mohamad Yazid, tewas 0-2 kepada wakil Sarawak, Ryllan Cornellius Megan Anak Rudy.
Dalam kategori WH1 (wheelchair/kerusi roda) individu, Muhammad Farid Amjad Roslan menewaskan rakan sepasukan, M Loga Rajah, 2-0.
Selangor kemudian tewas dalam acara perseorangan lelaki SU5 (standing upper) apabila Syed Alif Kamil Syed Khairul Azwi tunduk 1-2 kepada wakil Pulau Pinang, Muhamad Zarif Haikal Abdul Halim.
Nasib sama menimpa wakil Selangor dalam acara perseorangan lelaki WH2 apabila Muhammad Hafiz Ahmat tewas 0-2 kepada wakil Perak, Mohamad Shafiq Mohamed Jamil.
Dalam satu lagi aksi beregu lelaki SU5, gandingan Suria Sarvin dan Mohamad Hakimi gagal menambah kemenangan apabila tewas 0-2 kepada pasangan Sarawak, Joe Abell Anak Joseph Sidemy dan Davis Ting Elvis Hans.
Saingan badminton Para SUKMA Selangor 2026 diteruskan bagi menentukan kedudukan terbaik atlet dan pasangan sebelum mara ke peringkat seterusnya.
Selepas mengungguli SUKMA 2026, kontinjen Selangor kini menyasarkan 60 pingat emas pada temasya Para SUKMA yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.
Ketua Kontinjen Lim Yi Wei sebelum ini berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai, dengan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah dijangka membantu Selangor memburu lebih banyak pingat.










