
SHAH ALAM, 9 SEPT: Kontinjen Selangor berjaya mencapai sasaran 60 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus merealisasikan misi yang ditetapkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor.
EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata pencapaian itu membuktikan kesungguhan serta prestasi konsisten atlet para Selangor sepanjang temasya.
"Sebanyak 60 pingat emas berjaya disumbangkan menerusi tujuh acara dengan para renang menjadi penyumbang terbesar sebanyak 22 emas, diikuti para olahraga dengan 21 emas.

“Para catur menyumbang enam emas, para tenpin boling empat emas, para boling padang tiga emas, manakala para ping pong dan para memanah masing-masing menyumbang dua emas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Najwan turut merakamkan tahniah kepada seluruh kontinjen para SUKMA Selangor atas kejayaan mencapai sasaran berkenaan.
Dengan temasya berbaki sehari, beliau berharap atlet Selangor terus memberi tumpuan dan mempamerkan aksi terbaik dalam acara yang masih dipertandingkan.
"InsyaAllah dengan prestasi konsisten kontinjen yang dizahirkan, tidak mustahil untuk kontinjen para SUKMA Selangor muncul sebagai juara keseluruhan buat pertama kali dalam temasya ini," katanya








