BUDAYA

Kau

15 Dis 2024, 12:30 AM
Kau

Oleh Airul Affendi Ali

Kau makhluk ganas. Ya, makhluk paling kejam di wilayah ini. Wajah kau dipenuhi marak-marak nafsu yang membakar kesabaran. Keimanan hangus, hitam legam. Dengan kelebihan fizikal dan mental yang kaumiliki, pasti ia antara asbab kau menjadi raja. Raja yang zalim. Siapa lagi yang mampu membaham mangsa dengan rakus, kalau bukan kau? Siapa lagi yang mampu membunuh musuh dengan kejam, kalau bukan kau? Siapa lagi yang tidak punya hati perut, jika bukan kau? Ya, kau. kau yang bukan kau kenali dahulu.

Apakah yang bertakhta di geliga otak ketika kau rakus melahap mangsa? Seperti tiada sekelumit simpati atau kasih sayang bertunas di jiwa saat maut yang kaubawa di depan mata mereka. Dengan mata terjegil, kau campakkan sakaratul maut di kerongkong mereka. Kau rentap roh daripada tubuh. Mata-mata mereka yang membulat, wajah yang bergelut menceritakan perit dan sakit saat nyawa diragut.

Di rimba, beratus makhluk tuhan telah menjadi mangsa korban nafsu gila kau. Tapir, kau rodok perut dan ragut hatinya. Kata kau, ia penawar. Penawar untuk melawan virus HIV. Tetapi, berapa ramai pesakit yang sembuh mengunyah hati tapir? Tiada. Yang ada makhluk-makhluk gila, sedang bersandar dan ketawa di atas meja kedai makanan eksotik selepas menikmati hati tapir goreng kunyit. Kau kejam!

Kauheret harimau belang yang kehilangan darah. Darah panas memancut-mancut sehingga kering. Nada dengus kian perlahan. Dengan ketawa kausiat kulitnya hidup-hidup. Kau rentap taringnya. Suara rayuan harimau belang kau pekakkan. Perlahan harimau memejamkan mata. Lalu kau gantung kulitnya di dinding rumah agam mewah sebagai perhiasan. Tanda sebuah kemegahan. Kau jual dagingnya, walau daging seladang hamisnya lebih teruk berbanding kambing. Hanya nafsu untung yang kau bayangkan seperti bayangan pelacur kelas atasan sedang bertelanjang bulat di depan mata kau, lalu air liur nafsu gila terjun ke lantai dengan berani.

Kau percabul. Ya, perogol lebih tepat. Berapa ribu pokok kau ratah di sebalik nama projek ladang hutan kononnya untuk kelestarian alam dan pembangunan. Tua, muda, kaurogol. Kau bogelkan semuanya. Rayu dan tangis pokok tidak pernah kaupeduli. Apa yang kau mahu, seluruh kawasan kautarah. Sampai bogel. Sampai gondol. Kau tinggalkan semuanya telanjang tak bermaruah. Betapa gelojoh kaujual hasil kayu-kayan di kilang-kilang kapitalis untuk dijadikan perabot mewah golongan politikus sebagai tanda kelas sosial; bangku dan meja daripada jati, cengal atau tualang tersergam indah di ruang tamu banglo atau di lobi pejabat mereka.

Kau lakukan kerana duit. Duit yang tak pernah kau rasakan cukup dalam hidup ini. Betul kata orang, money is king dan kau adalah hamba kepada duit. Masih ingatkah kau saat mula-mula mencuba? Tangan kau menggigil seperti pesakit parkinson. Malah lebih teruk ketika kau menjinjing beg yang berisi seratus keping not seratus. Ya, ketika kau berusia dua lima tahun. Ketika itu, kau tergila-gilakan kereta mewah, rumah banglo dan wanita Filipina. Oh lupa, kau masih bekerja untuk seorang tauke ketika itu. Kau belajar daripada tauke itu tentang selok-belok perniagaan haram, pasaran gelap dan kerja-kerja kotor. Kautanam kepercayaan di benak otaknya. Selepas kau sudah mahir, kau menjadi lebih tamak, lebih gila. Akhirnya, kaubunuh tauke ketika di tengah lautan. Kononnya dia jatuh dan lemas. Lalu jasadnya dibaham jerung. Pulang ke darat, kau ambil alih takhta, ambil alih perniagaan haramnya. Kau terus menggila. Ya. Gila yang paling gila.

Daripada seratus keping not seratus, kau sudah berani gandakan angkanya. Tangan sudah tidak menggigil seolah kau telah dapat mengawal ketakutan dalam diri. Keberanian mulai menjalar. Makin lama, makin berani. Kau mula menyogok mereka dengan wanita berdahi licin. Sebab kautahu, mereka mudah tewas kepada tubuh-tubuh yang menggoda dan bau-bau luka wanita. Hasilnya, berapa banyak lesen-lesen penerokaan hutan kaudapat dengan cara yang salah? Cara rasuah! Tiada laporan Kajian Alam Sekeliling kau serahkan. Tiada kajian Flora dan Fauna. Tiada. Pelik tetapi benar. Kau bermodal seratus ribu tetapi pulangan kau kaut lebih ratusan juta dengan jualan kayu-kayan terbaik di hutan simpan.

Sebab itu kau digelar raja. Raja rasuah.

Pernah sekali kau ditangkap dan dibicara, kau mampu tersenyum dan ketawa di kandang tertuduh. Semua tertanya-tanya, apakah kau gila? Tidak takut dihukum dengan pelbagai kesalahan? Segala akta digantung pada tengkuk kau. Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Perlindungan Haiwan Liar. Semuanya kau patahkan dengan ketawa. Rupanya hakim telah kaubeli, hakim sudah jadi bala-. Sebuah kondominium mewah sebagai hadiah. Sejijik ini kaukawal dunia. Kau menganggap kau siapa.

Tuhan?

Tetapi itu dulu, ketika kau di puncak hidup. Segalanya kau miliki, harta, takhta dan wanita. Tidak hanya kau yang tewas dengan tiga TA ini, ribuan makhluk juga pernah tersungkur di lantai bumi dek mengejar harta, takhta dan wanita. Bezanya, kau lain. Ketamakan kau melebihi segalanya. Melampau-lampau. (Jika hal rasuah, sedikit atau banyak, tetap salah). Kau dicipta sebagai khalifah yang punya akal untuk memimpin dunia. Kau gagal mengawal makhluk bernama nafsu. Nafsu menunggang kau sedahsyat-dahsyatnya. Tunggang terbalik kau kerjakan alam ini. Haiwan, hutan, lautan, semuanya kau jadikan gadaian. Hanya wang sebagai tebusan.

Saat kau di tirai besi, tiada harta dapat bersama. Tiada takhta menjadikan kau istimewa dan tiada wanita bogel di sejuk simen berdua. Malam-malam yang sepi dibalui tembok batu, ngauman harimau kau takuti, tangisan pokok kau dengari. Ia bukan membalas dendam, cuma suatu detik yang menyedarkan tentang kegilaan kau melalui wajah dan akal semisal manusia. Tetapi, kau juga mengerti, bahawa Tuhan tidak pernah menutup pintu-pintu simpati. Sujudlah di lantai sunyi, biar bengkak dahi, sehingga ketemu ilahi.