Para SUKMA 2026: Skuad ping pong Selangor optimis buru pingat

5 Sep 2026, 2:03 PM
Para SUKMA 2026: Skuad ping pong Selangor optimis buru pingat
Para SUKMA 2026: Skuad ping pong Selangor optimis buru pingat
Para SUKMA 2026: Skuad ping pong Selangor optimis buru pingat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Skuad ping pong para Selangor optimis mencapai sasaran pingat pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berbekalkan persiapan rapi serta pengalaman empat atlet kebangsaan dalam pasukan.

Kaptennya, Syazreel Amri berkata persiapan skuad setakat ini berada pada tahap memuaskan, selain rekod pencapaian terdahulu turut menyuntik keyakinan untuk memburu kemenangan, khususnya ketika beraksi sebagai tuan rumah.

“Alhamdulillah, setakat ini persiapan yang rapi daripada pasukan ping pong Selangor amat memuaskan. Dengan persediaan yang ada serta kehadiran empat atlet negara dalam skuad ping pong para Selangor, kami yakin mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Rekod dan pencapaian sebelum ini juga banyak membantu dari segi keyakinan untuk mendapatkan pingat. Sebagai tuan rumah pada kali ini, kami amat yakin untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Kapten skuad ping pong para Selangor, Syazreel Amri optimis pasukan mampu mencapai sasaran pingat pada Para SUKMA 2026 berbekalkan persiapan rapi serta pengalaman empat atlet kebangsaan dalam skuad.

Mengulas saingan, Syazreel menjangkakan Sabah dan Perak antara kontinjen yang mampu memberi cabaran sengit kepada Selangor.

Menurutnya, semangat berpasukan selain sokongan atlet para kebangsaan dan barisan jurulatih berpengalaman menjadi antara kekuatan skuad menghadapi temasya berkenaan.

“Setakat ini kami banyak membina semangat berpasukan dan saling memberi nasihat serta inspirasi, khususnya dengan atlet para kebangsaan yang ada dalam pasukan.

“Kami juga dibimbing barisan jurulatih yang mempunyai pengalaman tinggi dan perkara itu banyak membantu skuad ping pong para Selangor untuk terus berkembang serta memberikan prestasi terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Syazreel turut mengajak orang ramai hadir memberikan sokongan kepada skuad ping pong para Selangor yang bakal berdepan caraban atlet dari seluruh negara.

“Saya selaku kapten skuad ping pong para Selangor menjemput semua untuk datang menyokong dan menyaksikan perlawanan skuad Selangor menentang kontinjen dari seluruh pelosok Malaysia.

“Datanglah beramai-ramai untuk memberikan semangat dan sokongan kepada kami,” katanya.

Selepas mengungguli SUKMA 2026, kontinjen Selangor kini menyasarkan 60 pingat emas pada temasya Para SUKMA yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.

Ketua Kontinjen Lim Yi Wei sebelum ini berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai, manakala kelebihan beraksi sebagai tuan rumah dijangka membantu Selangor memburu lebih banyak pingat.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.