PETALING JAYA, 24 JULAI: Peruntukan RM44.5 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pelaksanaan 30 skop kerja mitigasi banjir di Petaling Jaya dan Damansara, akan diselaraskan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata selain peruntukan itu, RM3 juta turut disediakan bagi Parlimen Petaling Jaya untuk pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) dan keperluan badan bukan kerajaan (NGO), manakala RM1.5 juta diperuntuk kepada Parlimen Subang Jaya.
“Pelaksanaan bagi kedua-dua peruntukan bagi Parlimen ini akan diselaraskan melalui ICU Selangor dan juga ICU Pusat,” katanya kepada pemberita selepas Program Generasi Muda Suara Baharu anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) di pekarangan Petaling Jaya Smart Centre di sini, hari ini.
Terdahulu, pada program berkenaan, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor sepakat meluluskan 30 skop kerja mitigasi banjir di Petaling Jaya dan Damansara, membabitkan peruntukan RM44.5 juta.
Anwar berkata kerja mitigasi banjir itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir di Petaling Jaya dan Damansara.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerima kemasukan 3,075 anggota baharu hari ini, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan Generasi Z (Gen Z) menerusi AMK.
Beliau berkata perkembangan itu membuktikan parti berkenaan terus mendapat sokongan generasi muda, sekali gus memberikan keyakinan untuk memperluas usaha mendekati golongan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata KEADILAN akan mengadakan Jelajah AMK Gen Z ke seluruh negara bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai perjuangan reformasi.
Fahmi berkata jelajah berkenaan bukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya merupakan program berkala parti yang diperkasakan susulan sambutan luar biasa kemasukan anggota baharu.
“Cuma kali ini jumlah penyertaan yang begitu ramai menjadikannya luar biasa dan akan menjadi titik tolak untuk kita memperluas jelajah ke seluruh negara,” katanya.







