MBPJ perkukuh mitigasi banjir di Medan Selera 223, pasang sistem amaran awal

6 Jun 2026, 4:04 AM
MBPJ perkukuh mitigasi banjir di Medan Selera 223, pasang sistem amaran awal

PETALING JAYA, 6 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempergiatkan usaha mitigasi banjir di Medan Selera Jalan 223 menerusi pelbagai langkah penambahbaikan segera termasuk pemasangan sistem amaran awal berasaskan sensor serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau paras air secara masa nyata.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai sebahagian usaha berterusan MBPJ untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan yang mempunyai sistem saliran tertutup dan memerlukan pendekatan lebih khusus.

Menurutnya, MBPJ turut mengadakan sesi libat urus bersama persatuan peniaga bagi memaklumkan perkembangan semasa projek serta langkah mitigasi yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Pelbagai projek mitigasi banjir sedang berjalan melibatkan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Projek-projek ini ditaja oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan turut melibatkan penyelarasan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato Mohamad Zahri Samingon (tengah) melakukan Gimik Prapelacaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Pelancaran Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 5 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim telah melawat kawasan terbabit, manakala mesyuarat penyelarasan infrastruktur bagi kawasan Petaling Jaya turut diadakan dengan isu banjir sebagai agenda utama.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek berkaitan.

Mohamad Zahri berkata pemasangan sensor dan CCTV di dalam sistem saliran membolehkan pemantauan paras air dilakukan secara masa nyata, selain berfungsi sebagai sistem amaran awal kepada peniaga.

“Apabila paras air mencapai tahap tertentu, sensor akan mengaktifkan siren sebagai amaran awal kepada peniaga supaya membuat persiapan dan memindahkan barangan ke tempat lebih selamat,” katanya.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim mengadakan tinjauan teknikal serta perbincangan bersama agensi berkaitan di kawasan Medan Selera 223, Petaling Jaya yang dilanda banjir kilat baru-baru ini. Tinjauan itu turut disertai Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya, Hee Loy Sian; Penyelaras Dewan Negeri Taman Medan, Halimey Abu Bakar; wakil Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta pihak berkepentingan lain. Foto Facebook Izham hashim

Selain itu, MBPJ turut mencadangkan pembinaan kemudahan One Stop Detention (OSD) di tapak kosong berhampiran kawasan tersebut bagi meningkatkan kapasiti takungan air hujan dan mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir di kawasan terbabit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.