SHAH ALAM, 30 MEI: Selangor sedang mempergiat usaha memperkukuh mitigasi banjir dengan meneliti pendekatan yang digunakan Belanda termasuk pengurusan sungai secara menyeluruh dan penerokaan kawasan simpanan air luar pesisir bagi meningkatkan daya tahan negeri terhadap risiko banjir serta perubahan iklim.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata langkah itu susulan kajian kes yang dilaksanakan kerajaan Belanda di Sabak Bernam sejak tahun lalu yang meneliti gabungan penyelesaian ekologi, pemuliharaan pesisir pantai dan teknologi inovatif sebagai pelengkap kepada pendekatan konvensional seperti pembinaan benteng.
Menurut beliau, pengalaman Belanda dalam aspek adaptasi perubahan iklim, daya tahan banjir dan perancangan bandar mampan boleh dijadikan rujukan, namun pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan keadaan dan keperluan setempat.
“Tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua dalam menangani banjir kilat. Selain langkah jangka pendek, Selangor juga memerlukan strategi jangka panjang yang merangkumi pengurusan sungai di kawasan hulu dan hilir.
“Kita juga perlu meneroka potensi kawasan simpanan air luar pesisir bagi mengurangkan kesan air pasang besar yang menghalang air dipam keluar ke laut,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jaap Werner, semalam.
Amirudin berkata pendekatan berkenaan selari dengan falsafah program terkenal Belanda, Delta Works dan Room for the River yang memberi tumpuan kepada pengurusan aliran sungai, pembinaan benteng penahan ombak ribut serta pengurangan tekanan terhadap sistem saliran ketika hujan lebat.
Beliau turut menegaskan usaha mengurangkan impak banjir perlu dipercepatkan selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Menurutnya, Selangor tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan bersifat sementara atau berasingan dalam menangani cabaran banjir yang semakin kompleks.
“Kita telah melihat kemajuan selepas tragedi banjir besar Disember 2021, termasuk pengurangan impak di kawasan seperti Taman Sri Muda. Namun masih banyak yang perlu dilakukan dan ia perlu dilaksanakan dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata perbincangan itu turut melibatkan beberapa agensi Persekutuan dan negeri termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Landasan Lumayan Sdn Bhd serta Pusat Adaptasi Iklim Selangor.
Menurut Amirudin, tumpuan seterusnya adalah meneliti penyelesaian yang bersesuaian bagi tiga lembangan sungai utama negeri iaitu Sungai Langat, Sungai Klang dan Sungai Selangor dengan mengambil kira kepadatan penduduk serta cabaran setempat.
Pada masa sama, beliau menegaskan Selangor kekal komited mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian termasuk mengekalkan lebih 31 peratus keluasan tanah negeri sebagai hutan simpan dalam agenda jangka panjang memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim.










