KABOTBA jadi platform lonjak bakat Orang Asli tembusi industri muzik - EXCO

5 Sep 2026, 4:00 AM
KABOTBA jadi platform lonjak bakat Orang Asli tembusi industri muzik - EXCO
KABOTBA jadi platform lonjak bakat Orang Asli tembusi industri muzik - EXCO
KABOTBA jadi platform lonjak bakat Orang Asli tembusi industri muzik - EXCO
KABOTBA jadi platform lonjak bakat Orang Asli tembusi industri muzik - EXCO

SHAH ALAM, 5 SEPT: Perluasan Kita Asli Battle of the Bands (KABOTBA) ke peringkat kebangsaan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Orang Asli untuk mengetengahkan bakat dan meneroka kerjaya dalam industri muzik.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata perkembangan program yang bermula di Selangor pada 2023 itu membuktikan bakat di peringkat komuniti mampu diketengahkan ke pentas lebih besar sekiranya diberikan ruang, sokongan dan kesinambungan.

EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berucap sempena pertandingan KITA ASLI Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Ini membuktikan bahawa bakat yang ada dalam kalangan masyarakat Orang Asli, khususnya generasi muda, mampu pergi lebih jauh sekiranya diberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya.

“Kita mahu bakat ini terus berkembang dan tidak terhenti setakat pertandingan, sebaliknya dapat dibawa ke peringkat yang lebih profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pentas akhir KABOTBA Kebangsaan 2026 di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah melakukan gimik perasmian pertandingan KITA ASLI Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Borhan, KABOTBA bukan sekadar medan untuk mencari juara, sebaliknya platform membina keyakinan, mengasah bakat serta mengetengahkan identiti dan kreativiti generasi muda Orang Asli.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mahu memastikan peserta yang mempunyai potensi terus mendapat peluang selepas pertandingan, termasuk menerusi pendedahan kepada industri muzik profesional.

“Pemenang bukan sahaja menerima hadiah, tetapi diberikan peluang untuk menghasilkan lagu dan video muzik bersama Luncai Emas.

“Ini satu permulaan untuk mereka mengenali industri dengan lebih dekat, membina jaringan serta membuka peluang menghasilkan karya yang boleh diketengahkan kepada khalayak lebih luas,” katanya.

SRA STG Band menjuarai pertandingan KITA ASLI Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

KABOTBA merupakan kesinambungan Asli Battle of the Bands (ABOTB) yang dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) sejak 2023.

Pada pentas akhir KABOTBA Kebangsaan 2026, kumpulan SRA STG dari Ulu Kinta, Perak muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi serta sijil selain peluang menghasilkan lagu dan video muzik bersama Luncai Emas.

Tempat kedua dimenangi Mijo’s Band dari Perak yang menerima RM5,000, manakala Mayang Band dari Selangor di tempat ketiga dengan hadiah RM3,000.

Selain tiga kumpulan pemenang, empat lagi kumpulan turut berentap di pentas akhir, iaitu Zangkud Band (Selangor), Kareh Band (Kelantan), Pandora Band (Pahang) dan Farja Band (Johor).

EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bergambar bersama kesemua peserta yang mengambil bahagian pertandingan KITA ASLI Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.