SHAH ALAM, 5 SEPT: Kumpulan SRA STG dari Ulu Kinta, Perak muncul juara Pertandingan Kita Asli Battle of The Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini malam tadi.
Kumpulan komuniti Orang Asli yang dianggotai enam ahli itu membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil dan trofi, selain peluang menghasilkan rakaman lagu serta video muzik bersama syarikat produksi Luncai Emas.
Tempat kedua dimenangi Mijo’s Band, juga dari Perak, yang menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil, manakala Mayang Band dari Selangor di tempat ketiga membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil.

Sebanyak tujuh kumpulan dari enam negeri berentap di peringkat akhir selepas melepasi pertandingan saringan di Zon Tengah, Zon Pantai Timur dan Zon Selatan.
Selain tiga kumpulan pemenang, empat lagi kumpulan turut berentap di pentas akhir, iaitu Zangkud Band (Selangor), Kareh Band (Kelantan), Pandora Band (Pahang) dan Farja Band (Johor).
Sementara itu, EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata KABOTBA merupakan kesinambungan Asli Battle of the Bands (ABOTB) yang dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) sejak 2023.

“Daripada penganjuran tersebut, kita melihat sendiri begitu banyak bakat dan kreativiti dalam kalangan anak-anak muda Orang Asli yang mempunyai potensi untuk diketengahkan lebih jauh.
“Sambutan yang diterima memberi keyakinan kepada kita untuk membawa inisiatif ini ke tahap yang lebih besar. Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya memperluaskannya ke peringkat kebangsaan, sekali gus menghimpunkan bakat masyarakat Orang Asli dari beberapa negeri di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan KABOTBA 2026 di sini malam tadi yang turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu.

Terdahulu, KABOTBA 2026 turut menampilkan penggiat industri muzik tanah air sebagai barisan juri, antaranya Dato’ Freddie Fernandez, Saiful Umbrella dan Achong Sweetchild.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Azlan & The Typewriter, Elyana Emrizal dan Achong Sweetchild.











