SPR genap 69 tahun, terus komited urus pilihan raya telus

4 Sep 2026, 1:53 AM
SPR genap 69 tahun, terus komited urus pilihan raya telus

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang menyambut ulang tahun penubuhan ke-69 hari ini, komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab mengurus proses pilihan raya negara secara adil, telus, cekap dan berintegriti.

SPR menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan sepanjang 69 tahun, SPR terus melangkah seiring perubahan zaman dalam memperkukuh sistem demokrasi menerusi pilihan raya.

SPR juga berterusan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dengan cekap dan telus.

“Semoga SPR terus teguh melangkah, kukuh berintegriti dan terus menjadi institusi demokrasi yang diyakini, dalam memastikan proses demokrasi negara sentiasa terpelihara dan sejahtera.

“SPR, cekap dan telus,” menurut hantaran itu.

SPR ditubuhkan pada 4 Sept 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan semasa penubuhannya SPR dianggotai oleh seorang pengerusi dan dua orang ahli.

Pengerusi pertama suruhanjaya itu ialah Datuk Dr Mustafa Albakri Hassan, manakala dua ahli ketika itu ialah Lee Ewe Boon dan Ditt Singh.

Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada 1963, bilangan ahli suruhanjaya itu ditambah kepada tiga orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir-gilir.

Keanggotaan SPR kemudiannya diperluas kepada tujuh orang pada 2002, terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli, termasuk masing-masing seorang wakil dari Sabah dan Sarawak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.