WCE jimat masa, bahan api pemandu trak ke Pelabuhan Klang

4 Sep 2026, 2:00 AM
WCE jimat masa, bahan api pemandu trak ke Pelabuhan Klang
WCE jimat masa, bahan api pemandu trak ke Pelabuhan Klang

KLANG, 4 SEPT: Kebanyakan pemandu trak menyifatkan penggunaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) lebih singkat ke kawasan perindustrian dan pelabuhan utama sekali gus mengurangkan jarak dan masa perjalanan.

Jajaran yang lebih lurus dan kurang kawasan berbukit juga mengurangkan penggunaan bahan api dan menjadikan pergerakan barangan di seluruh Selangor dan kawasan sekitarnya lebih cekap.

Pemandu trak CT Campbell, Lohaan Sharma Parama Sivam, 29, berkata WCE menjadi laluan alternatif sesuai untuk kenderaan berat berulang-alik ke lokasi perindustrian dan pelabuhan.

Pemandu lori Lohaan Sharma Parama Sivam, 29, ketika tinjauan Media Selangor pada 24 Ogos 2026. — FOTO ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Ia memang memudahkan kerana kawasan perindustrian dengan logistik dan pelabuhan semuanya agak lebih dekat apabila menggunakan jalan alternatif ini,” katanya ketika ditemui di Rehat dan Rawat (R&R) Sijangkang WCE baru-baru ini.

Menurut Lohaan, WCE menjimatkan masa dan menjadi laluan lencongan dari kesesakan lalu lintas berbanding jalan lain manakala jajarannya lurus dan rata menjadikan perjalanan lebih lancar.

“Kita boleh sampai lebih cepat ke destinasi, termasuk pelabuhan, kilang dan industri. Ia menjimatkan masa dan kita tidak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Pemandu trak Fuller Logistics, Mohd Yazie Azizan, 32, berkata jajaran WCE memberi kelebihan kepada kenderaan berat kerana ia kurang berbukit dan berliku yang banyak menggunakan brek.

Pemandu lori Mohd Yazie Azizan, 32, ketika tinjauan Media Selangor pada 24 Ogos 2026. — FOTO ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan satu lagi manfaat utama lebuh raya baharu ini ialah jaraknya yang lebih singkat, sekali gus memudahkan pemandu tiba di destinasi mereka dengan lebih cekap.

Bagi pemandu trak Agensi Pengangkutan Yurn Soon, Rohimi Jawahir, 59, WCE menjadi laluan pintas bagi pemandu yang bergerak antara Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang ke selatan Selangor.

Pemandu lori Rohimi Jawahir, 59, ketika tinjauan Media Selangor pada 24 Ogos 2026. — FOTO ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Menjimatkan masa itu satu hal, tetapi perjalanan yang lebih singkat juga bermakna penjimatan bahan api yang ketara,” katanya yang lazimnya menggunakan WCE dua hingga tiga kali seminggu.

Rohimi juga mengingatkan pemandu perlu berwaspada di beberapa jajaran terutama lori tangki yang diisi sebahagian kerana pergerakan muatan cecair boleh menjejaskan kestabilan kenderaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.