Kelewatan WCE seksyen empat naikkan kos logistik sekitar Pelabuhan Klang

4 Sep 2026, 1:00 AM
Kelewatan WCE seksyen empat naikkan kos logistik sekitar Pelabuhan Klang
Kelewatan WCE seksyen empat naikkan kos logistik sekitar Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kelewatan pembukaan seksyen empat Lebuhraya Pantai Barat (WCE) meningkatkan kos logistik syarikat dan menjejaskan kecekapan ekonomi di sepanjang laluan Klang-Shah Alam khususnya Klang dan Pelabuhan Klang.

Menurut setiausaha agung Persatuan Pengangkut Barang Malaysia (AMH), kos bahan api, waktu kerja pemandu dan penyelenggaraan kenderaan naik selain risiko penghantaran yang lewat.

“Bagi industri pengangkutan barang, masa itu emas. Sebuah lori yang sepatutnya melakukan beberapa perjalanan sehari mungkin kehilangan satu atau lebih trip akibat kesesakan.

"Ini akhirnya menjejaskan produktiviti rantai bekalan secara keseluruhan,” kata Mohamad Azuan Masud kepada Media Selangor.

Setiausaha Agung Persatuan Pengangkut Barang Malaysia (AMH) Mohamad Azuan Masud

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembukaan lebuh raya berkenaan berupaya menjadi pemangkin dalam merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar terutama di utara Selangor.

Menurut Azuan, kelewatan itu mengakibatkan masa perjalanan yang tidak menentu termasuk lori kontena berisiko terlepas slot masa di terminal, depoh atau lokasi penghantaran sekali gus mengganggu keseluruhan jadual operasi.

Katanya, kelewatan juga memberi tekanan kepada Klang dan Pelabuhan Klang, hab utama logistik, perdagangan dan perindustrian, ekoran kenderaan berat, pengangkutan komersial dan pengguna persendirian bergantung kepada rangkaian jalan sama.

“AMH sebelum ini menerima maklum balas pemandu bahawa kesesakan di (Pelabuhan Klang) boleh melebihi dua kilometer dan mengambil masa sekitar 30 minit.

“Kesesakan di sepanjang laluan kritikal ini boleh meningkatkan penggunaan bahan api sebanyak 15 hingga 25 peratus bagi setiap perjalanan, bergantung kepada keadaan lalu lintas,” katanya.

Azuan menegaskan pembukaan seksyen emoat tidak harus dilihat sekadar projek jalan raya semata-mata, sebaliknya langkah meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos logistik.

“Dengan ketersambungan yang lebih baik, kawasan perindustrian dan perniagaan boleh mendapat akses lebih cekap ke Pelabuhan Klang dan kawasan-kawasan lain,” katanya lagi.

Beliau menggesa pihak berkuasa mempercepat pembukaan seksyen itu demi manfaat semua pengguna, tertakluk kepada pemenuhan semua keperluan keselamatan, teknikal dan pengawalseliaan.

“Bagi pengangkut barang, kami lebih rela membayar tol dan menggunakan laluan alternatif yang lebih lancar daripada terus tersangkut dalam kesesakan setiap hari,” katanya.

Fakta Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.