SHAH ALAM, 3 NOV: Kedudukan pemilikan tanah di Kampung Jawa, Klang dalam isu membabitkan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dapat diselesaikan petang ini, kata EXCO Perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata kemelut tersebut akan dibincangkan bersama menerusi mesyuarat khas pada jam 2.30 petang ini di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Minggu lepas kita sudah berbincang secara terbuka, termasuk dengan menteri sendiri. Hari ini kita akan putuskan supaya dapat satu penyelesaian.
“WCE ini kepentingan awam. Kita perlukan dua lebuhraya iaitu WCE dan PLUS. Jaraknya hanya 150 meter sahaja lagi. Akan ada mekanisme yang akan dibincangkan supaya dapat diputuskan dan ditegaskan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Inovasi Alam Melayu Antarabangsa (IMAN25) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengesahkan keputusan berhubung isu pembinaan WCE di Kampung Jawa akan diputuskan selepas mesyuarat akhir bersama pihak terlibat, hari ini.
Isu pembinaan WCE di Kampung Jawa berlarutan apabila 19 penduduk dilaporkan masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan mereka sudah menerima sejumlah pampasan daripada syarikat konsesi.
Lebuhraya WCE sepanjang 233 kilometer itu menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor dengan 21 persimpangan termasuk akses ke SKVE, NKVE, PLUS, NNKSB dan LATAR.





