ad

Isu WCE: Kerajaan Negeri bertemu penduduk Kampung Jawa dalam masa terdekat

20 Okt 2025, 1:28 AM
Isu WCE: Kerajaan Negeri bertemu penduduk Kampung Jawa dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri akan mengadakan semula pertemuan melibatkan isu pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang selepas Deepavali, atas permintaan penduduk terlibat.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata mesyuarat tersebut pada awalnya dijadual minggu lalu namun ditunda ke tarikh baharu, berkemungkinan 29 Oktober.

“Isu ini melibatkan kepentingan awam. Projek ini hanya berbaki kira-kira 150 meter untuk disiapkan dan jika tertangguh lebih lama, ia boleh menjejaskan aliran trafik.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah ditemui media pada Majlis Anugerah Seni Selangor (ASN) 2025 di Hotel Mardhiyyah Shah Alam pada 19 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berunding supaya keputusan tidak menjejaskan hak penduduk,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Seni Negeri (ASN) Selangor 2025 di Hotel Mardhiyyah di sini, semalam.

Borhan berharap pertemuan itu yang turut membabitkan syarikat konsesi WCE, Kerajaan Negeri dan pemilik tanah dapat mencapai penyelesaian terbaik.

Seramai 52 pemilik tanah terlibat dalam laluan projek berkenaan dan majoriti sudah menerima pampasan, namun 19 pemilik yang dibayar melalui peguam dilapor masih belum berpindah atas alasan jumlah pampasan tidak mencukupi.