Kandungan 18+: CMCF ingatkan risiko perkongsian semula di media sosial

3 Sep 2026, 7:45 AM
Kandungan 18+: CMCF ingatkan risiko perkongsian semula di media sosial

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati, apabila berkongsi semula babak atau klip daripada program yang dikhususkan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood berkata perkongsian semula kandungan sedemikian, boleh menyebabkan ia tersebar kepada kanak-kanak dan khalayak umum yang bukan sasaran asal program terbabit.

Beliau berkata perbincangan awam kebelakangan ini mengenai kandungan penstriman turut mengetengahkan isu, apabila sesuatu babak yang asalnya disiarkan dalam program dengan klasifikasi umur, maklumat kandungan dan perlindungan pengguna tertentu boleh berubah dari segi konteks dan jangkauan apabila dipotong, disunting serta disebarkan secara meluas di media sosial.

“Apabila babak daripada kandungan yang ditujukan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas dikongsi di media sosial, ia boleh kehilangan konteks, klasifikasi dan amaran asal, lalu tersebar kepada khalayak yang lebih luas termasuk kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika sesuatu kandungan dianggap tidak sesuai, kebimbangan sewajarnya dibangkitkan melalui saluran yang betul, manakala pengguna perlu mempertimbangkan sama ada perkongsian semula boleh menyebabkan kandungan itu tersebar lebih luas kepada khalayak yang ingin dilindungi.

Mediha berkata pengguna boleh membuat laporan melalui saluran yang disediakan platform, mengemukakan aduan kepada penyedia perkhidmatan, CMCF atau merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata perlindungan penonton tanggungjawab bersama, dengan penyedia perkhidmatan digalakkan menyediakan maklumat program yang jelas, klasifikasi umur, nasihat pengguna dan amaran kandungan, selain ciri keselamatan seperti PIN, profil mengikut kesesuaian umur serta sekatan tontonan.

“Perlindungan penonton hanya berkesan apabila semua pihak memainkan peranan. Platform perlu menyediakan maklumat dan kawalan yang jelas, ibu bapa serta pengguna perlu menggunakannya dan kita semua perlu lebih berhati-hati agar kandungan yang ditujukan kepada penonton 18 tahun ke atas, tidak diperluas kepada khalayak umum melalui media sosial,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.