1,000 sertai Wira Internet Selamat

9 Mac 2026, 1:45 PM
1,000 sertai Wira Internet Selamat
1,000 sertai Wira Internet Selamat
1,000 sertai Wira Internet Selamat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kira-kira 1,000 pengunjung mendaftar sebagai Wira Internet Selamat pada Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program yang diadakan secara serentak di 19 bazar Ramadan di seluruh negara itu bertujuan memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan serta amalan penggunaan Internet secara bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Menurut SKMM, program itu menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia, dan peniaga bazar yang mengambil peluang mendapatkan pendedahan mengenai amalan penggunaan Internet secara selamat.

“Sepanjang penganjuran program, pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan, serta mengambil bahan informasi yang disediakan.

“Sambutan positif itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, khususnya ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan semakin rancak sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan antara pengisian utama program termasuk sesi interaktif berkaitan keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial serta langkah pencegahan jenayah siber.

Kejayaan pelaksanaan program itu turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja SKMM di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam manakala Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hadir di Bazar Ramadan Temenggong di Kulai, Johor.

Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli dan diberikan penerangan mengenai Kempen Internet Selamat ketika menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

SKMM menegaskan pihaknya komited memastikan persekitaran digital negara terus selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.