PETALING JAYA, 3 SEPTEMBER: Kerajaan Negeri akan memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam mulai tahun depan, dengan beberapa program hackathon dilaksanakan bagi mengenal pasti penyedia teknologi yang sesuai.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pendekatan itu membolehkan Kerajaan Negeri menilai keupayaan penyedia teknologi berdasarkan penyelesaian yang ditawarkan, bukan semata-mata faktor kos.
“Tahun ini kita sudah meluangkan masa melaksanakan beberapa hackathon bagi mencari pembekal yang sesuai. Nanti akan ada pengumuman mengenai beberapa hackathon yang telah dilaksanakan.
“Bukan soal harga sahaja, tetapi keupayaan dan kebolehan mereka membantu kita memasukkan elemen AI dalam proses penting Kerajaan Negeri,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2, hari ini.

Beliau berkata kerjasama dengan sektor swasta itu akan membantu memperluas penerapan teknologi berkenaan dalam pengurusan serta penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.
“Dengan adanya rakan kolaborasi daripada pihak swasta ini, tahun depan kita akan memperluas penggunaan AI di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut juga selari dengan usaha Selangor memperkukuh kedudukan sebagai negeri pintar dan bergerak ke arah penggunaan AI secara lebih menyeluruh.
“Ini akan memastikan negeri ini bukan sahaja terus menjadi sebuah negeri pintar, tetapi juga bakal menjadi negeri yang menggunakan AI secara lebih menyeluruh pada tahun hadapan.
“Saya rasa rakyat juga akan lebih teruja dengan adanya kerajaan yang berupaya memberi respons dengan lebih segera dan menggunakan maklumat untuk tujuan penggubalan dasar pada masa hadapan,” katanya.
Selangor sebelum ini menyasarkan menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif Bandar AI yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan dalam pengurusan bandar serta penyelesaian pelbagai isu awam.







