Isu penempatan, pembangunan di kawasan paip gas dibawa ke DNS

13 Apr 2026, 6:54 AM
Isu penempatan, pembangunan di kawasan paip gas dibawa ke DNS

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning menggesa Kerajaan Negeri merangka dasar yang jelas berkaitan pembangunan dan penempatan berhampiran infrastruktur berisiko.

S Preakas berkata ia termasuk penempatan atau pembangunan berhampiran paip gas susulan kebimbangan keselamatan dalam kalangan penduduk.

Jelas beliau, mengambil iktibar tragedi Putra Heights, perkara itu akan dibawa dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual bermula 20 April ini.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan, tetapi juga keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan berisiko. Kita mahu satu dasar yang jelas dan tegas daripada Kerajaan Negeri.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat berikan dasar yang jelas untuk memastikan bukan kawasan saya sahaja tetapi semua khususnya yang mana ada isu berkenaan dengan paip gas ini kita perlu teliti semulalah,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas berhubung insiden di Putra Heights, Preakas turut mencadangkan agar perlindungan insurans disediakan kepada penduduk yang terkesan dengan insiden tersebut.

Katanya, insurans berkenaan boleh dilaksanakan sama ada melalui syarikat berkaitan seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau dijadikan syarat kepada pemaju untuk menyediakan perlindungan kepada penduduk sekitar.

“Saya berpendapat Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan supaya pihak berkaitan menyediakan insurans kepada penduduk sebagai langkah perlindungan tambahan,” jelasnya.

Sebelum ini, kira-kira 40 penduduk Putra Heights bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir dalam perhimpunan bagi menuntut keadilan serta penjelasan berhubung tindakan dan dasar kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Menurut Preakas, kebanyakan penduduk yang hadir mahu mengetahui langkah konkrit yang akan diambil kerajaan serta bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka.

Pada 30 Jun tahun lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang menjadi punca letupan pada kejadian pagi 2 Syawal.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan insiden letupan itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) namun sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui pihaknya komited meneruskan semula siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.