
KUALA SELANGOR, 2 SEPT: Hampir semua lokasi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kini kembali bersih selepas KDEB Waste Management (KDEBWM) mempertingkat operasi kutipan dan pembersihan sejurus temasya itu berakhir.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata keadaan itu hasil persiapan awal pihaknya dengan menambah kru pembersihan, tong sampah serta kekerapan perjalanan lori bagi memastikan pengurusan sisa sepanjang temasya berjalan lancar.
Katanya, operasi pembersihan turut diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi lokasi di bawah seliaan PBT, manakala kawasan persendirian dikendalikan KDEBWM sendiri.
“Kita tambah tenaga kerja, kru dan lori, kita tambah tong sampah lagi, tambah trip lagi. Alhamdulillah, semua lokasi SUKMA ini telah pun dibersihkan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kutipan Sisa Domestik dan Pembersihan Awam antara KDEBWM dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), di sini hari ini.

Sebelum ini, KDEBWM memperuntukkan tambahan RM240,000 bagi mempertingkat operasi pengurusan sisa di semua lokasi SUKMA 2026 selaras peranannya sebagai rakan penaja rasmi temasya berkenaan.
Peruntukan itu meliputi penambahan tenaga kerja, tong sampah dan kutipan sisa bagi memastikan kebersihan lokasi pertandingan sepanjang temasya.
Dalam pada itu, Ramli mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor atas kejayaan menganjurkan SUKMA serta kontinjen negeri yang muncul juara keseluruhan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.
“Saya amat bergembira dengan kejayaan kontinjen Selangor, tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri yang berjaya menganjurkan SUKMA dan menjadi juara dengan 101 pingat emas,” katanya.
Selangor turut mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya di temasya berkenaan selepas melepasi sasaran awal 80 pingat emas, dengan sukan renang menjadi penyumbang emas terbesar menerusi 20 daripada keseluruhan 41 emas yang dipertandingkan.







