ad
BERITA UTAMA

KDEBWM bersihkan 'luka' bencana, siap siaga depani situasi luar jangka

15 Jun 2025, 8:00 AM
KDEBWM bersihkan 'luka' bencana, siap siaga depani situasi luar jangka
KDEBWM bersihkan 'luka' bencana, siap siaga depani situasi luar jangka
KDEBWM bersihkan 'luka' bencana, siap siaga depani situasi luar jangka
KDEBWM bersihkan 'luka' bencana, siap siaga depani situasi luar jangka

SHAH ALAM, 15 JUN: Dalam tempoh tiga tahun, Selangor berdepan dua insiden besar yang meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat – bah besar pada 2021 dan letupan paip gas di Putra Heights, April lalu.

Kedua-dua kejadian itu bukan hanya menyebabkan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan, malah mengakibatkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit buat sebahagian penduduk terlibat.

Musibah yang melanda memberi kesan kepada emosi mangsa. Selain menyediakan sokongan moral dan bantuan kewangan, usaha baik pulih dan pembersihan skala besar menjadi tumpuan negeri.

Demi memastikan persekitaran kembali bersih dan selamat, KDEB Waste Management (KDEBWM) - agensi pengurusan sisa pepejal di Selangor hampir sedekad lalu, memikul tanggungjawab berat.

Bukan hanya perlu menjalankan tugasan hakiki di seluruh negeri, tetapi KDEBWM diberi peranan sebagai petugas barisan hadapan untuk menguruskan situasi genting dan di luar jangka.

[caption id="attachment_705514" align="aligncenter" width="815"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Tahir bercakap kepada media ketika wawancara Media Selangor di pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 22 Mei 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pikul tanggungjawab berat

Mengakui insiden tersebut mencabar, Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Tahir turut menganggap ia sebagai titik tolak buat pasukannya meningkatkan kesiapsiagaan berdepan bencana bila-bila masa.

"Apabila operasi menyelamat selesai, di sini bermulanya peranan KDEBWM dalam aspek pembersihan. Bagi KDEBWM, antara paling mencabar ialah insiden banjir kerana banyak lokaliti terkesan.

"Kami perlu menyusun gerak kerja sebaiknya dengan mempertimbang banyak perkara termasuk kutipan sisa banjir selain sampah harian yang perlu diteruskan," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, lebih 600 lori Roll-On Roll-Off (RoRo) digerakkan ke lokasi terjejas bagi mengangkut timbunan sampah dan sisa bah mengikut tempoh ditetapkan Kerajaan Negeri.

Malah, operasi harian seperti kutipan sampah domestik di kawasan perumahan tetap diteruskan meskipun lebih 50 lori RoRo mereka turut terjejas akibat banjir ketika itu.

[caption id="attachment_696528" align="aligncenter" width="781"] Sukarelawan membersihkan kawasan sekitar Putra Harmoni di Putra Heights, Subang Jaya pada 13 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Bagi insiden letupan gas di Putra Heights pula, KDEBWM membuat pembersihan luaran tiga hari selepas insiden berlaku seperti memotong pokok tumbang dan mengumpulkan sisa runtuhan.

“Kita juga masih menempatkan tong RoRo di kawasan terjejas agar penduduk boleh membuang barang-barang yang rosak atau tidak digunakan,” katanya.

Tingkatkan aset, tambah kecekapan

Berikutan cabaran besar yang dihadapi, KDEBWM kini dalam proses menambah aset operasi bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan bencana.

Ini termasuk pembelian jentera pengaut untuk memudahkan kerja pengangkutan sampah berskala besar, serta tong RoRo baharu berkapasiti 18 tan – lebih besar berbanding saiz sedia ada iaitu 7.5 tan.

[caption id="attachment_557933" align="aligncenter" width="802"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir memantau kerja penyedutan dalam longkang ketika program gotong-royong pascabanjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Tong bersaiz kecil boleh masuk ke lorong sempit, manakala yang besar memudahkan pemindahan sisa,” jelas Ramli.

Selain itu, pihaknya juga mempertimbang untuk memperoleh peralatan khusus seperti penyembur air bertekanan tinggi dan pembersih takungan air bagi menambah baik tahap kebersihan pascainsiden.

Bersemangat laksana amanah

Semangat kerja pasukan diuji tatkala berdepan cabaran luar biasa. Justeru, Ramli sentiasa mengingatkan kakitangannya untuk memegang amanah dan menjalankan tugas dengan tanggungjawab.

“Sudah pasti penat itu dirasai, tetapi saya sentiasa ingatkan dan terapkan semangat positif supaya masyarakat kekal percaya dengan perkhidmatan diberikan,” katanya.

Kisah KDEBWM menjadi peringatan bahawa tanggungjawab pascabencana bukan sekadar pada usaha menyelamat, tetapi juga memastikan persekitaran kembali selamat untuk didiami semula.

Sebagai pemain penting dalam landskap pengurusan sisa di negeri ini, KDEBWM membuktikan keberanian dan kesungguhan di belakang tabir juga penting demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.