KUALA SELANGOR, 2 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan hampir RM15 juta bagi memperkukuh operasi kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Kuala Selangor susulan pertambahan penduduk serta perkembangan kawasan pembangunan baharu di daerah itu.
Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata peruntukan berkenaan membolehkan pihaknya menambah aset dan memperluas skop perkhidmatan bagi menampung peningkatan jumlah sisa yang dijana penduduk.
Katanya, skop kutipan sisa domestik kini diperluas daripada 12 kepada 22 zon dengan penggunaan 21 lori kompaktor dan sebuah lori armroll, termasuk perkhidmatan kutipan di tujuh pasar awam.

"Kuala Selangor sudah mula berkembang, maju dan semakin besar. Penduduk juga semakin ramai menyebabkan populasi meningkat. Jadi, kita sudah kira jangkaan janaan sampah dan jumlah rumah di daerah ini.
"Disebabkan itu kita terpaksa buat pelaburan baharu dengan meletakkan aset baharu bagi memastikan setiap sampah yang dihasilkan di Kuala Selangor dapat diuruskan dengan lebih cekap dan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kutipan Sisa Domestik dan Pembersihan Awam antara KDEBWM dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri.
Ramli berkata skop pembersihan awam turut diperluas daripada 13 kepada 24 zon dengan penggunaan 24 lori armroll menerusi perjanjian yang berkuat kuasa selama tujuh tahun, bermula 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2033.
Katanya, perkembangan Kuala Selangor dalam tempoh tujuh tahun lalu turut menyaksikan daerah itu dinaik taraf daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran, selain pertambahan kawasan pembangunan baharu.
"Dalam tujuh tahun pun kita sudah naik taraf daripada majlis daerah ke majlis perbandaran. Lagi ramai orang datang duduk, ia lebih membangun, lebih kemas, lebih cantik dan banyak kawasan baharu mulai naik.
"Bagaimanapun, kita akan cuba tambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Selangor ini lebih baik daripada tujuh tahun dahulu ketika kita mula menjalankan operasi di sini," katanya.

Sementara itu, Hanafe berkata MPKS menyambut baik kesinambungan kerjasama dengan KDEBWM dan berharap perkhidmatan kutipan sisa di daerah itu dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
"Kita berharap semua pihak dapat terus bekerjasama dan melaksanakan kerja dengan lebih cekap dan pantas. Bagi MPKS, perkara utama adalah memastikan rakyat menerima perkhidmatan berkualiti, konsisten dan memenuhi standard," katanya.









