SHAH ALAM, 4 APRIL: Lebih RM4 juta kenaikan kos diesel terpaksa ditanggung KDEB Waste Management (KDEBWM) setiap bulan, bagi operasi kutipan sisa susulan ketegangan global semasa.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata lonjakan lebih 60 peratus itu menyebabkan kos operasi bulanan meningkat hampir RM10 juta, berbanding sekitar RM6 juta sebelum ini.
Menurutnya, kenaikan mendadak itu memberi tekanan besar kepada operasi kira-kira 1,300 lori KDEBWM setiap hari, satu cabaran kepada kecekapan sistem pengurusan sisa dan kelangsungan perkhidmatan.
“Setiap lori perlu membuat beberapa perjalanan sehari. Jika kos diesel meningkat 30 hingga 40 peratus setiap perjalanan, jumlah keseluruhan boleh mencecah hampir dua kali ganda.

“Namun, kami akan cuba mengekalkan jadual kutipan supaya tidak berlaku lambakan sampah, seterusnya beri kesan kepada krisis kesihatan awam,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.
Dalam pada itu, Ramli memaklumkan langkah mitigasi sedang dirangka Kerajaan Negeri dengan penglibatan beberapa pakar luar bagi mencari penyelesaian terbaik dan tidak mengganggu operasi.
Sebagai langkah jangka panjang, jelasnya, KDEBWM terbuka ke arah penggunaan lori elektrik (EV), namun penelitian kapasiti, ketahanan bateri, kos pelaburan dan kesesuaian perlu diteliti.
“Dalam dua hingga tiga tahun ini, saya memang membuat kajian secara khusus berkenaan penggunaan EV dalam industri kami, khususnya melibatkan lori bersaiz besar.
“Kami sedang menilai sama ada lori EV ini mampu bertahan sekurang-kurangnya lapan jam operasi. Jika bateri hanya bertahan empat jam, ia tidak praktikal untuk digunakan.
“Proses kajian dan penilaian perkara ini masih berjalan termasuk memperkenalkan projek perintis untuk melihat sama ada lori EV sesuai digunakan dalam pengurusan sisa di Selangor,” katanya.









