SHAH ALAM, 2 SEPT: Perselisihan kecil seperti ejek-mengejek dan penghinaan tidak boleh dipandang ringan apabila ia berlarutan sehingga mencetuskan dendam serta keinginan untuk membalas.
Asisten Superintendan Yusmar Yadee Salim dari Unit Pencegahan Gangsterism Bukit Aman berkata konflik interpersonal sering menjadi pencetus segera dalam kejadian keganasan membabitkan pelajar.
Antara puncanya termasuk perselisihan, perebutan hubungan, penghinaan atau konflik yang berpanjangan.
Menurutnya, keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila pelajar gagal mengawal emosi, mendapat sokongan rakan atau mula merancang tindakan balas.
“Buli boleh menghasilkan kitaran apabila mangsa menyimpan marah, mencari sokongan rakan, melakukan pembalasan dan akhirnya konflik menjadi lebih ganas,” katanya.
Beliau berkata pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranan apabila seseorang menjadi lebih berani ketika berada dalam kumpulan, malah ada rakan yang merakam, bersorak atau menggalakkan pergaduhan.
Justeru, ibu bapa dan guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku seperti menjadi lebih agresif, kerap mengugut atau bercakap mengenai pergaduhan dan membalas dendam.
Petunjuk lebih serius termasuk menunjukkan minat luar biasa terhadap senjata, bercakap mahu mendapatkannya atau menyembunyikan objek tertentu.
Bagaimanapun, Yusmar mengingatkan satu perubahan tingkah laku sahaja tidak bermakna seseorang pelajar akan bertindak ganas.
Sebaliknya, gabungan beberapa tanda dan peningkatan tahap ancaman perlu dilihat sebelum tindakan intervensi dilakukan.
Beliau berkata sekiranya senjata dibawa ke sekolah dan mempunyai unsur jenayah, tindakan disiplin sekolah tidak menghalang polis menjalankan siasatan mengikut undang-undang.







