RS-2 perlu ikut kekuatan setiap daerah, elak pembangunan tercicir

2 Sep 2026, 3:00 AM
RS-2 perlu ikut kekuatan setiap daerah, elak pembangunan tercicir

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kejayaan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur menerusi pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada sejauh mana pembangunan dapat dinikmati secara seimbang di setiap daerah tanpa ada kawasan tercicir.

Profesor Ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr Wong Chin Yoong berkata sembilan daerah di Selangor mempunyai potensi dan tahap pembangunan berbeza, justeru pendekatan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) perlu disesuaikan mengikut kekuatan serta keperluan setempat.

“Setiap daerah perlu dibangunkan mengikut potensi dan keperluan masing-masing. Sesetengah kawasan mungkin lebih sesuai untuk pelancongan, manakala kawasan lain boleh difokuskan sebagai hab pengumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.

Menurutnya, tidak semua daerah sesuai dibangunkan dengan sektor ekonomi baharu yang sama kerana setiap kawasan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya ingin menekankan bahawa sesetengah bidang ekonomi baharu tidak sesuai untuk semua daerah. Ada daerah yang mungkin perlu kembali kepada pelancongan sebagai teras pembangunan, manakala daerah lain boleh menumpukan kepada kluster PKS,” katanya.

Tadbir urus GLC perlu diperkukuh

Dalam pada itu, Wong menyambut baik langkah Kerajaan Negeri memperkukuh koordinasi strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan pelbagai inisiatif negeri bagi memaksimumkan pulangan daripada pelaburan awam.

Menurutnya, usaha meningkatkan penyertaan GLC dan sektor swasta serta mengoptimumkan tadbir urus agensi negeri berpotensi membolehkan sumber awam dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

“Kerajaan Negeri menyatakan hasrat untuk meningkatkan penyertaan GLC dan sektor swasta serta mengoptimumkan sistem tadbir urus agensi negeri supaya sumber awam dapat menggerakkan sektor swasta dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu berpotensi menjana manfaat ekonomi lebih besar, termasuk meningkatkan hasil bukan cukai Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, Wong mengingatkan aspek tadbir urus dan pengawasan perlu diperkukuh, khususnya dalam proses penyusunan semula serta pelaburan GLC.

“Pengaruh politik perlu dielakkan dalam pengurusan GLC bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan kerugian pelaburan.

“Kita tidak mahu akhirnya sumber awam terpaksa digunakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan sebagai pintu pagar yang ketat dalam hal ini,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.