Garis panduan kebenaran merancang perlu dikaji semula, nilai risiko banjir

23 Nov 2026, 9:57 AM
Garis panduan kebenaran merancang perlu dikaji semula, nilai risiko banjir

SHAH ALAM, 23 NOV: Garis panduan permit kebenaran merancang (KM) perlu dikaji semula, khususnya penilaian kesan alam sekitar bagi memastikan projek pembangunan mengambil kira risiko banjir pada masa depan.

Pengerusi Blok Penyokong Kerajaan (BBC) Azmizam Zaman Huri berkata tindakan itu boleh diperkukuh bersekali Local Agenda 21 (LA21) bagi memastikan KM mengambil kira kesesuaian lokasi tapak, kepentingan penduduk dan prinsip pembangunan mampan.

Beliau menegaskan kelulusan KM tidak seharusnya diberikan secara automatik meskipun dokumen lengkap dikemukakan, sebaliknya perlu mengambil kira kesan pembangunan terhadap alam sekitar, infrastruktur, ekonomi setempat dan kehidupan masyarakat.

“Masalah banjir ini (ketika ini) mungkin kesan KM yang diluluskan lebih 15 tahun lalu. Jadi garis panduan KM ini perlu dikai semula untuk pembangunan akan datang. Mohon kukuhkan dengan LA21 yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Mungkin akibat perubahan iklim ketika ini. Kadar hujan yang sepatutnya sebulan, turun dalam masa sehari menyebabkan beberapa kawasan terutama di bandar mengalami banjir kilat, air bergenang,” katanya.

Membahaskan usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2027 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Azmizam berkata isu mengatasi banjir perlu dilaksana dengan semua pihak, tidak tertumpu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semata-mata.

Sebagai contoh, beliau berkata Jabatan Perancangan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menilai aspek guna tanah, bentuk muka bumi, peta topografi, aras tapak, aliran air semula jadi, akses jalan raya dan keadaan pembangunan sekeliling.

“Keputusan perlu mengambil kira kesan jangka panjang…lima hingga sepuluh tahun serta kesan terkumpul daripada projek lain yang telah diluluskan, sedang dibina atau

dicadangkan.

“Bagi setiap permohonan KM berisiko tinggi, lawatan tapak wajib diadakan sebelum keputusan dibuat. Lawatan perlu melibatkan JPS, Jabatan Perancang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi teknikal berkaitan,” katanya.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar berkata semua projek pembangunan termasuk infrastruktur awam yang gagal mematuhi syarat penyediaan kolam takungan boleh dikenakan tindakan henti kerja, termasuk penarikan balik kelulusan kebenaran merancang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sudah mengarah PBT menjalankan siasatan dan inventori terhadap semua projek pembangunan bagi memastikan syarat berkaitan mitigasi banjir dipatuhi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.